Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena sesi perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rancangan Selangor Pertama pacu ekonomi, tingkat taraf hidup rakyat 

SHAH ALAM, 5 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diperkenal pentadbiran negeri bagi memenuhi keperluan jangka pendek dan membina daya tahan yang kukuh pada masa depan.

Pertama kali dibentang pada Julai 2022, pelan pembangunan lima tahun itu meliputi empat teras ke arah pencapaian aspirasi Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025.

Tidak hanya merancak pertumbuhan ekonomi melalui potensi pelaburan, RS-1 menumpukan aspek pembangunan sosial melalui peningkatan peluang kerja dan menurunkan kadar kemiskinan bandar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin ketika membentang Kajian Separuh Penggal (KSP) RS-1 pada 4 Julai menjelaskan petunjuk prestasi itu bertujuan menilai keberkesanan sistem negeri.

Beberapa anjakan baharu dibuat seiring usaha negeri yang terkandung dalam Lima Tekad Lima Tahun, termasuk inisiatif persekutuan berteras prinsip Ekonomi Madani.

Sejauh manakah prestasi semasa ekonomi negeri?

Selangor cemerlang dengan mencatat sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 25.9 peratus tahun lalu berbanding 25.5 peratus pada 2022.

Negeri itu juga mencatat pertumbuhan paling tinggi pada tahun lalu dengan nilai 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 3.6 peratus.

Purata pertumbuhan KDNK pula 7.43 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2023, mengatasi sasaran RS-1 antara 6.5 hingga 7.0 peratus.

Pentadbiran negeri juga merekod nilai pelaburan RM39.4 bilion menerusi sektor utama berbanding sasaran RM23 hingga RM35 bilion.

Berapakah pencapaian pendapatan isi rumah?

Pendapatan isi rumah penengah mencapai RM9,983, melepasi sasaran bagi Wilayah Tengah
dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu RM9,290 menjelang 2025.

Selangor juga menambah baik sasaran pencapaian kemiskinan mutlak dari 0.7 peratus kepada 0.5 peratus. Kemiskinan tegar dinoktah pada 2022.

Indeks kebahagiaan rakyat Selangor pada 2021 pula pada kedudukan sederhana iaitu 5.74 tetapi masih bawah sasaran nasional sebanyak 7.00 menjelang 2025.

Apakah tahap kepuasan orang ramai terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Tahap kepuasan penduduk terhadap PBT mencecah 89.8 peratus pada 2023, melebihi sasaran 85 peratus.

Bagaimanakah usaha dalam memacu kelestarian?

Selangor mencapai sasaran ketersediaan air bersih 24 jam sehari dipacu inisiatif antaranya pengurangan air tanpa hasil (NRW) untuk mengatasi paip pecah dan lama.

Pengekalan liputan hutan simpanan kekal (HSK) pada tahap 31.7 peratus setakat 2023, melepasi sasaran 31 peratus.

Bagaimana status keseluruhan RS-1?

Setakat 2023, sebanyak 18 peratus atau 52 daripada 282 projek, program dan inisiatif (PPI) selesai manakala baki (230 PPI) sedang dijalankan sehingga 2025.

Untuk projek berimpak tinggi, 13 daripada 20 projek dijayakan, dua pada peringkat reka bentuk dan lima lagi dalam fasa konsep dan permulaan.

Projek itu antaranya Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Projek dalam peringkat reka bentuk pula ialah Taman Aero Selangor manakala pelabuhan ketiga Pulau Carey dan galeri seni di Shah Alam dalam permulaan.

Apakah inisiatif baharu RS-1?

– Jajaran Rel Selangor dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam serta peluasan laluan sedia ada dari Kuang ke Kuala Selangor sekali gus melengkapi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

– Projek rintis perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) dalam fasa akhir

– Zon Pembangunan Kuala Selangor dan Hulu Selangor bertujuan mengembangkan hab pertanian dan
akuakultur di barat Kuala Selangor

– Lembah Klang Raya Selangor yang menggabungkan empat bandar raya menjadi model metropolitan dan bersaing dengan kota utama Asia

– Pembangunan taman solar berskala besar dan loji tenaga hijau di Rawang mengurangkan kebergantungan sumber tenaga fosil

– Peningkatan tenaga solar oleh Air Selangor untuk mencapai sifar karbon menjelang 2040

– Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) menangani pencemaran dan memastikan bekalan air mentah cukup ketika kemarau

– Pengeluar hasil utama produk pertanian bernilai tinggi melalui teknologi moden

– Taman dan ladang agro pintar bawah SABDA menumpukan pengeluaran buah, sayur dan daging

– Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor memastikan stok makanan asas mencukupi untuk mendepani perubahan iklim dan krisis geopolitik

– Pusat Kecerdasan Buatan Selangor bagi menarik pelabur, bakat baharu dan sedia peluang kerja

– Memperluas Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dan Dana Usahawan Madani Selangor bagi meningkatkan pendapatan

 

 

 

 


Pengarang :