DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berswafoto dan beramah mesra bersama kanak-kanak ketika Jamuan Aidilfitri Rumpun Selangor pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di IKBN Dusun Tua, Hulu Langat pada 25 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Rumpun Selangor perkukuh perpaduan, bangun sosioekonomi rakyat

SHAH ALAM, 19 JULAI: Gagasan Rumpun Selangor menjadi kerangka bagi Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan lagi perpaduan sekali gus menjamin pembangunan sosioekonomi rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu juga bertujuan menyuntik semangat ke seluruh negara melahirkan nasionalisme Malaysia.

“Ibarat sepohon pokok, banyak ranting dan pucuknya, tetapi akhirnya kita berkongsi akar dan aspirasi yang sama.

“Perpaduan utuh masyarakat menjadi asas utama yang mendorong ekonomi negeri meningkat agar dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

“Walau berbeza warna kulit, fahaman dan kepercayaan, namun apabila matlamat dihalatujukan atas satu landasan #KitaSelangor kejayaan pasti menyusul,” katanya menerusi Facebook.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat persembahan sekitar Kajang Dulu-Dulu pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Kajang pada 24 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah Selangor adalah ‘melting pot’ negara dengan kepelbagaian latar belakang rakyat jika dibanding dengan mana-mana negeri lain.

“Migrasi dari selatan seperti Melaka dan Johor, wilayah utara seperti Perlis, Pulau Pinang atau Kedah, malah selain Kelantan dan Terengganu, sekumpulan besar warga Sabah dan Sarawak turut menjadi penduduk sini.

“Kepelbagaian ini walau membawa nilai emas kepada negeri ini, ianya harus diikat dengan nilai perpaduan agar kekayaan dan hasil negeri dinikmati bersama tanpa wujud kecurigaan atau perbalahan.

“Inilah pentingnya perpaduan perlu diurus dengan baik agar ekonomi terus berkembang,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyempurnakan majlis perasmian penutup lumba perahu naga Piala Raja Muda Selangor di Jeti Nelayan Sungai Besar Sepang pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Sepang 2024 di di Sepang dari 9 hingga 11 Mei 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Bermula Februari, program telah menjelajah ke lima daerah dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Selayang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bergambar bersama penduduk kampung Orang Asli Ulu Tamu pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 21 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :