SUBANG JAYA, 17 JULAI: Selangor membawa sembilan resolusi perlindungan dan kebajikan kanak-kanak ke simposium kebangsaan pada September depan.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata antara resolusi yang dimuktamadkan termasuklah usaha mengatasi pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/2-27-500x333.jpg.webp)
“Resolusi ini diserahkan kepada saya setelah dibincang dalam persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK). Pasukan ini antara akar umbi yang terlibat langsung dalam melindungi kanak-kanak.
“Sembilan resolusi ini adalah dapatan setiap daerah seluruh Selangor membabitkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, biarpun berbeza tetapi tujuannya sama iaitu demi kesejahteraan kanak-kanak,” katanya ditemui pada majlis penutup persidangan tersebut di sini, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/6-27-500x333.jpg)
Dalam pada itu, Anfaal menyeru supaya masyarakat menjadi yang pertama melaporkan sebarang kejadian sekiranya merasakan berlakunya pengabaian atau penderaan dalam kalangan masyarakat.
“Data Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor merekodkan Selangor mencatat kes pengabaian tertinggi berbanding negeri lain. Pengabaian termasuklah ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah dan kecuaian.
“Salah satu faktor menyumbang kes ini adalah kepadatan penduduk selain 80 peratus daripadanya dicatat berlaku di rumah. Sebab itu, kita mahu masyarakat terutama jiran-jiran prihatin keadaan sekeliling dan salurkan maklumat.
“Selain itu, kita juga meluluskan peruntukan RM50,000 di bawah Sinergi Prihatin 2024 bagi penganjuran program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak peringkat negeri pada Ogos depan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/7-26-500x333.jpg.webp)