Pemain Selangor FC meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Kuching City FC pada saingan suku akhir kedua Piala FA 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor mara ke separuh akhir Piala FA selepas tewaskan Kuching City FC

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 ke atas Kuching City FC selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 sebaik tamat masa sebenar perlawanan separuh akhir kedua yang menyaksikan Selangor menumpaskan Kuching City 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini malam tadi.

Lima sepakan itu diperoleh menerusi Muhammad Safuwan Baharudin, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Muhamad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Harith Haiqal Adam Fakar yang menewaskan penjaga gawang pasukan pelawat di hadapan penyokong sendiri.

Terdahulu, turun dengan formasi 4-4-2, Kuching City melakukan beberapa percubaan sebaik perlawanan bermula sebelum Nur Shamie Iszuan Amin bijak memanfaatkan peluang pemain hadapan Jordan Mintah di hadapan gawang tuan rumah untuk melakukan rembatan pertama pada minit ke-15.

Namun pasukan Gergasi Merah yang ‘menyerap’ semangat penyokong sendiri tenang menghadapi situasi kelam-kabut di hadapan gawang apabila tandukan Harith Haiqal Adam Afkar berjaya disempurnakan oleh Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-27 untuk kembali ‘menghidupkan’ peluang mereka.

Pemain Selangor FC meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Kuching City FC pada saingan suku akhir kedua Piala FA 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 Julai 2024. Foto BERNAMA

Belum puas, anak buah Mohd Nidzam Jamil terus melancarkan serangan bertali arus sebelum Alvin Mateus Fortes menambah jaringan 12 minit kemudian hasil umpanan Quentin Cheng Jiun Ho tanpa mendapat tentangan daripada pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, pemain kembali dengan semangat baharu namun ‘drama’ di luar jangkaan berlaku apabila sebahagian lampu limpah gagal berfungsi kira-kira 17 minit dan pertarungan hanya diteruskan pada minit ke-80 namun ia seolah-olah mematahkan ‘keghairahan’ kedua-dua pasukan apabila mengganggu rentak permainan mereka.

Namun penambahan 20 minit dalam masa kecederaan menyaksikan kedua-dua pasukan terdesak untuk mengeluarkan segala jenis kemahiran namun mereka seperti sudah hilang sabar apabila berlaku kekecohan susulan ‘sentuhan’ antara pemain tengah Selangor, Yohandry Jose Orozo Cujia dan Diego Baggio Test yang menyaksikan Yohandry dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, ia sedikit pun tidak mengganggu pasukan Selangor apabila mereka menambah satu lagi jaringan menerusi Alvin pada minit ke-90+4 namun belum sempat meraikannya apabila Mohamad Alif Hassan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-90+5 dan menyaksikan minit permainan diteruskan.

Malang tidak berbau apabila Selangor terpaksa bermain dengan sembilan orang apabila pemain import Reziq Mohamed Saleh Banihani menerima kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap Jimmy Raymond yang menyaksikan permainan diheret kepada aksi penentuan sepakan penalti.

Kuching City sebelum ini memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri untuk menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

– BERNAMA


Pengarang :