Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar sumbang 27 peratus KDNK pada 2025, terus terajui ekonomi negara

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor menyasarkan sumbangan sebanyak 27 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata keyakinan itu berdasarkan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 7.43 peratus dicapai pada 2021 hingga 2023, melebihi sasaran bagi tempoh lima tahun ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kejayaan Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi paling tinggi pada 2023 dengan kadar 5.4 peratus selain merekodkan nilai dagangan melebihi RM400 bilion meletakkan negeri ini berada di landasan tepat mencapai sasaran pada 2025.

“Angka purata menunjukkan kita berada di sedikit hadapan untuk capai sasaran 27 peratus kerana ia disumbangkan pertumbuhan yang sangat luar biasa pada tahun 2022 dengan pertumbuhan kadar purata melebihi 11 peratus ketika itu.

“Peningkatan nilai aktiviti ekonomi lebih dari RM41 bilion dari 2021 hingga 2022 dengan jumlah RM340 bilion ke RM381 bilion kemudian meningkat RM25 bilion capai RM406 bilion untuk 2023.

“Kerajaan Negeri percaya dengan perkembangan yang ditunjukkan ini kita boleh mencapai minimum ke 27 peratus KDNK pada 2025 apabila RS-1 selesai,” katanya menggulung usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RS-1 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan penurunan sasaran sumbangan KDNK negara dari 30 peratus hingga 27 peratus yang ditetapkan sebelum ini setelah mengambil kira prestasi ekonomi dan keadaan geo-politik semasa.

“Seperti yang saya sebutkan dalam pembentangan KSP RS-1 perubahan sasaran melihat keadaaan geo-politik yang memberi kesan dagang seluruh dunia, mahupun pertumbuhan ekonomi global sedikit perlahan.

“Selain itu, dasar-dasar baharu yang dirangka Kerajaan Persekutuan seperti Rangka kerja Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) turut mempengaruhi.

“Semua ini telah dirangkumkan KSP RS-1. Kita telah menetapkan sampai tahun 2025, mengikut prestasi semasa, kemungkinan untuk kita sampai 30 peratus KDNK agak sukar,” ujarnya.

 

 


Pengarang :