AGENDAJENAYAH

Seorang individu rugi RM80,000 dirompak 10 lelaki menyamar anggota polis

KOTA BHARU, 8 JULAI: Polis memburu 10 lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian rompakan di sebuah bangsal di kebun tembikai di Kuala Krai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata kejadian berlaku di Kampung Lepan Anjung, Dabong, pada 2.40 pagi tadi apabila seorang lelaki didatangi 10 individu secara tiba-tiba dan memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

Beliau berkata kesemua suspek memakai topeng muka dan seorang daripada mereka mengacukan objek seakan pistol serta parang ke arah leher mangsa yang juga pemilik bangsal berkenaan.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dengan kesalahan jenayah dan akan ditahan, manakala tangan mangsa digari serta kakinya diikat dengan tali,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Barangan milik mangsa termasuk wang tunai RM7,000, sebuah telefon pintar, kereta jenis Toyota Hilux, mesin gergaji dan basikal elektrik serta dua utas jam tangan jenama Rado turut dilarikan.

Mangsa yang berusia 40 tahun kemudian membuat laporan polis pada 4.24 pagi dan nilai kerugian dianggarkan bernilai RM80,000.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Qusyairi di talian 011-24359850 atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bagi membantu siasatan.

— BERNAMA


Pengarang :