BUDAYARENCANA

Siapa harus dibela?

Oleh ALIFF AWAN

Iliustrasi FAHMI MUSTAFFA

Saya baru tiba di hadapan rumah Encik Sasha. Betul, Sasha adalah seorang Encik. Ketika mengetahui panggilannya begitu, saya sedikit pun tak ragu kerana saya pun bahasakan diri Puan. Apalah nak dipedulikan, gelaran saja pun.

Tapi, di hati kawan saya, Mus, dia tak gemarkan keterbalikan panggilan sebegini. Kata dia, ini lebih jijik daripada najis. Maka, saya pun kata, “Panggillah aku najis, then.” Dia terkekeh-kekeh sebab tahu kalau bercakap dengan saya, sudah tentu sebenarnya buah fikiran dia yang sering terbalik.

Ketika mahu terbang ke Petra Jaya, Mus yang paling marah. Pura-pura merajuk, dia terus menyilang tangan dan mencebik, “Kau kalau nak bela sangat, dekat Semenanjung ni pun bersepah. Aku sanggup beli satu, kemudian lepas sehari aku akan pura-pura tak nak bela dah dan jual dekat kau. Tak payah sampai nak fly ke sana.”

“Itulah masalahnya, Mus. Aku memang nak bela, tapi kau pun tahu aku takkan bela sembarangan,” cuba memujuk.

Mengajuk gaya dan cakap saya, Mus lalu menyenaraikan kata-kata saya dulu, “Kucing tu mestilah berani. Kucing tu mestilah cantik. Kucing tu perlulah terima aku yang nak dipanggil sebagai Puan.”

Saya pun berdekah dan memujinya, “Pandai pun!”

“Tapi, mana boleh kucing tu panggil kau Puan. Dia kan mengiau aje.”

“Apa pula tak boleh, kita yang buat dia.”

Sambil-sambil dia masih marahkan saya sebab ingatkan penerbangan ini akan memisahkan kami, kapal terbang pun tiba. Di hadapan, orang ramai telah beratur untuk duduk. Telefon kerap dipandang dan nampaknya Mus sikit pun tak peduli nak cakap “Leklok!” sampailah pengumuman penggunaan gajet tak dibenarkan, telefon diwafatkan, tayar kapal terbang mula menggerakkan kenderaan, Mus tetap tak ada tanya apa.

Teringatkan “Puan” yang tersemat di dada, saya pun lantakkan aje.

***

Pintu rumah Encik Sasha terbuka sendiri. Dengan senyuman teruja, saya masuk tidak berhati-hati. Tiba-tiba, ada ngauman kucing yang jauh sekali daripada ngiauan manja. Bunyi itu serupa taring yang patah, putuslah lidah seekor rimau di Zoo Negara.

Terkejut saya nampaknya Encik Sasha perasan, jadi dia lukiskan senyuman dan kata jangan risau. Jelas dia, kucing dekat rumah ni memang lain machiam sikit. Kemudian, dia ketawa malu sambil tutup-tutup mulut. Memahami semua ini, saya pun angguk. Dalam kepala saya, “Kalau manusia pun ada beza-beza, apalah setakat kucing. Akhirnya, semua ciptaan Tuhan juga. Perbezaanlah yang memeriahkan hidup.”

Sebaik saja duduk, xoxo terus melompat ke atas riba saya. Kepalanya menggeser-geser seluar, meninggalkan bulunya yang cepat gugur. Tapi, soalan paling besar saya kepada tuan asalnya adalah, “Memang dia ramah macam ni ke?”

Encik Sasha tertawa kecil. Kata dia, xoxo paling tak minat bergaul dengan orang. Kata dia lagi, xoxo dengan kucing lain pun dia tak bergaul sangat. Tapi, dia akan sangat rapat dengan tuannya. Dan, kebetulan dia bijak. Jadi, sebelum awak sampai tadi, saya beritahu dia akan dibela oleh tuan baru dari Semenanjung dan saya tunjukkan gambar awak. Dia pun miau tanda faham. Sekarang, tahu-tahu dia dah beriman kepada awak.

Suara Mus muncul di telinga. “Tapi, kau nak kucing yang berani bukan manja, kan?” Soalnya.

Betullah ingatan Mus itu, tapi sekarang ada perkara yang lebih penting. Ada anjing tengah sibuk wuf wuf di luar dan ia mengganggu keamanan kami di dalam rumah ini untuk berborak dan untuk menyambung urus niaga. xoxo tak boleh rileks, jadi dia terus keluar dan mengaum. Ya, mengaum kepada anjing tersebut. Macam kucing yang mengaum bila saya sampai di rumah ini tadi. Jadi, anjing pun kecut, terdiam dan memecut ke tempat lain.

Oh, sayangku xoxo. Mak love!

Kucing bertompok putih itu pun kembali mendekati saya. Dia melompat ke atas riba dan baring semula. Sambil-sambil menguap, matanya hampir terlelap.

Dari kerusinya, Encik Sasha keluarkan sehelai kertas. Dia kata ini borang perjanjian yang saya akan menjaga kucing ini elok-elok. Malah, semua maklumat telah tercatat di situ. Nama, umur, asal lahir, Munchkin dan jumlah bayaran. Macam surat beranak, tapi itu hal lain. Saya akan peroleh surat beranak itu nanti. Yang Encik Sasha keluarkan ini macam mock up sijil lahir.

Sambil-sambil membaca segala akur janji, Encik asal Miri itu bertanya apa nama baru untuk kucing yang akan diambil ini? Saya kata xoxo. Jawapan sama diberikan kepada Mus. Bila Mus tanya kenapa, saya kata mudah saja. Dalam gambar, kucing ini nampak macam bantal yang selesa dipeluk. Kalau dipeluk, ia pasti akan menurunkan segala beban di bahu, mengurangkan rasa berat di badan dan akhirnya, menenangkan segala serabut di dada. Dan ternyata, xoxo memang begitu. Dia yang bermanja-manja di atas riba saya ini pun dah cukup untuk buat saya berasa lebih baik. Cantik!

Syukur dan setuju atas segala akur janji yang mudah, Encik Sasha pun hulurkan pen untuk saya turunkan tandatangan. Ketika itu juga, xoxo dimasukkan ke dalam sangkar supaya lebih mudah untuk dibawa menaiki kapal terbang.

Nampaknya, tiada halangan untuk kami tiba di Kuala Lumpur. Mus yang jemput kami di lapangan terbang. Sebaik saja saya keluar dengan xoxo yang diam tak miau-miau di dalam sangkar, Mus dah melompat-lompat gembira. Dia terus peluk saya dan bergurau manja dengan xoxo. Kami berjalan ke kereta. Ketika itu, langkah saya dah tak betul. Kepala berpinar. Saya syak ini mungkin mabuk kapal terbang.

“Amacam trip kau?” Soal Mus.

“Ngam jugalah. Smooth sebenarnya. Aku datang, tandatangan, bayar dan balik.”

Ketika itu, saya dah tak boleh pura-pura selesa. Jadi, terus berlari ke tong sampah terdekat dan muntahkan nasi lemak santan yang dimakan tadi.

Mus dah tak boleh duduk diam sebab orang sibuk memandang. Dari dalam sangkar, xoxo tak mengiau sikit pun. Dia cuma memandang saya sehingga titisan cecair terakhir keluar dari rongga mulut. Sebaik saja saya mengangkat muka dan berpaling, xoxo pun mengiau dan ia disusuli dengan “Puan Karl, are you okay?”

Saya memandang Mus memandang saya. Kemudian, dia pula yang muntah ke dalam tong sampah yang sama.

 

 


Pengarang :