Oleh DANIAL DZULKIFLY
Tahun kelapan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) menyaksikan program ini melakukan perubahan penting demi menyasarkan lebih banyak penyertaan dari seluruh negara dan rantau Asean.
Menerusi pendekatan menumpukan perniagaan dan pelaburan, Kerajaan Negeri secara strategik membahagikan persidangan ini kepada dua acara penting tahun ini bagi menampung pertambahan jumlah peniaga dan pelawat.
Masih berpegang matlamat meletak Selangor sebagai gerbang utama pelaburan di Asean, inisiatif sejak 2016 oleh Invest Selangor Sdn Bhd (Invest Selangor) kini mengembangkan lagi sayapnya dengan perancangan lebih besar.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata program itu dibahagikan kepada dua – pada Julai dan Oktober – bagi memastikan keterangkuman terbaik kepada semua peserta.
Beliau berkata, langkah itu berdasarkan maklum balas peserta sebelum ini yang menyukai acara berkenaan namun mahukan tempat yang lebih besar dan luas.
“Kami menjangkakan pengisian terbaik dalam acara-acara ini. Lebih banyak perbincangan dan peluang jaringan dihasilkan bagi memaksimumkan pelaburan dilibatkan dalam setiap acara yang dianjur selain pelaburan daripada semua pempamer.
“Selain itu, dengan lebih banyak fokus dan sasaran peserta hadir setiap acara, kami berharap ia mampu menghasilkan lebih banyak peluang perniagaan untuk semua pempamer,” katanya baru-baru ini.
Penambahbaikan
Persidangan tahun ini mengetengahkan beberapa acara utama: Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B buat kali ke-10, Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) kali ke-4, Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK) kali ke-4, Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) kali ke-8 dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) kali ke-9.
Acara SABC dan SPARK berlangsung 25 hingga 27 Julai, manakala SIE F&B, SLC dan SDEC pula antara 16 hingga 19 Oktober.
Ng berkata, antara penambahbaikan utama program SPARK tahun ini ialah adanya beberapa program sampingan seperti pameran Selangor Investors.
Program lain antaranya mewujudkan khidmat pusat sehenti bagi memudahkan pengilang dan pelabur bertemu pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal di dewan pameran, sekali gus memberi pengalaman lebih baik untuk peserta.
“Pendekatan ini membolehkan pelabur berpotensi dan pengilang berminat memperkukuh perniagaan mereka dengan bertemu pegawai teknikal pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan secara langsung, sama konsep seperti Hari Bertemu Pelanggan bersama masyarakat awam.
“Kita juga ada pegawai jabatan perancang bandar dan bangunan, bersama beberapa pegawai kanan untuk menjawab persoalan secara langsung. Pusat sehenti perlu untuk menjawab sebarang pertanyaan,” katanya.
Tahun ini, Sze Han berkata, SPARK mengalu-alukan lebih banyak penyertaan dari negara Asia Tenggara bagi merangsang pendekatan bersepadu untuk memacu pelaburan dalam rantau Asean.
Acara dalam SABC pula mengetengahkan jurucakap terkenal termasuk wakil Malaysia Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, beberapa menteri besar dan wakil dewan perniagaan dari beberapa negara.
“Agenda ini termasuk topik perdagangan antara negara Asean sementara Selangor berperanan sebagai gerbang ke Asean sekali gus melestari pelaburan,” kata Sze Han.
Beliau juga menyatakan SDEC memperkenal sesi menumpukan inisiatif terbaharu negeri iaitu taman reka litar bersepadu (IC) dan Pemacu Semikonduktor Malaysia.
“Usaha ini menarik lebih ramai peserta berkualiti hadir ke setiap program. Sebelum ini, kita menggabungkan program ini dengan menjangkakan pelawat silang sektor, sebagai contoh pelawat pelaburan hadir ke SIE (F&B) juga akan melawat SPARK.
“Walau bilangan keseluruhan pelawat menggalakkan, kehadiran mereka tidak semestinya dijadikan sasaran utama peserta bagi setiap acara khusus.
“Dengan pengasingan kepada dua sesi, kita akan fokus untuk membawa pelawat yang melabur atau pembeli kepada beberapa sektor spesifik kami dan pelabur berpotensi untuk melabur kepada sektor spesifik itu,” katanya.
Bagi SIE F&B, Sze Han berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan salah satu pempamer utama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengadakan forum sehari berkaitan topik keterjaminan makanan.
Beliau berkata, Persidangan Antarabangsa Halal Selangor atau SELHAC menyertai SIBS buat kali pertama tahun ini di bawah SIE F&B 2024. Ia dapat membantu syarikat tempatan dan antarabangsa menembusi pasaran halal di rantau ini.
Acara penting lain ialah tiga forum utama ketika subkonvensyen SLC termasuk forum Kelestarian Masa Depan Selangor – Korea yang membincangkan teknologi biotani dan bidang lain berkaitan.
Hubungan global
Menerusi SIBS selaku pintu pelaburan, Sze Han berkata Kerajaan Negeri melengkapkan platform itu dengan lawatan perdagangan antarabangsa berstrategik.
Beliau berkata, misi pelaburan serampang dua mata itu menarik pelaburan asing dan menggalakkan perkongsian global bernilai tinggi.
Tempoh separuh pertama 2024 menyaksikan Selangor berada dalam satu siri usaha sama antarabangsa merentasi empat negara dan tiga benua, melibatkan inovasi teknologi dan galakan industri semikonduktor.
Sebagai permulaan, 10 syarikat tempatan pemula diketengahkan dan pertemuan peringkat tertinggi di Sidang Kemuncak dan Ekspo Bandar Pintar di Taiwan pada Mac.
Ia disusuli misi seminggu ke China pada April melibatkan 21 pertemuan dengan syarikat dan agensi kerajaan di Shanghai, Suzhou dan Shenzhen, bertujuan menarik firma reka litar bersepadu China.
Usaha meluaskan capaian global dibuat bulan berikutnya menerusi lawatan ke Jepun bertujuan menumpukan akses pasaran untuk syarikat pemula dan penyelesaian mobiliti di Tokyo dan Osaka.
Kemudian dalam Jun, delegasi Selangor mempromosikan SDEC pada Minggu Teknologi London 2024, diikuti perbincangan bersama syarikat mikroelektronik Weeroc di Paris, Perancis berhubung potensi pembabitan dalam taman reka litar bersepadu Selangor.
“Semua lawatan ini penting untuk menarik teknologi terkini dan amalan terbaik di Selangor.
“Mereka juga meletakkan kita sebagai lokasi utama pelaburan bernilai tinggi di samping mengiktiraf kekuatan rakan kongsi global kita,” kata Sze Han.
Modal insan
EXCO Pelaburan itu berkata, inisiatif penting negeri, termasuk taman reka litar bersepadu di Puchong dan misi perdagangan antarabangsa, antara strategi jangka panjang Selangor memperbanyak bilangan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
Selangor ada ramai graduan dan tenaga kerja, namun Sze Han tidak menafikan berlaku ketidakpadanan kemahiran kerana jurang keperluan pasaran kerja. Justeru, Kerajaan Negeri menumpukan program pembangunan bakat bersasar.
“Usaha kita bukan hanya menarik pelaburan bernilai tinggi. Kita komited membangunkan modal insan yang memenuhi permintaan industri berkemahiran tinggi.
“Negeri ini merancang membantu pencari kerja melalui perkongsian strategik yang menyasarkan latihan semula individu daripada tidak mahir kepada separa mahir dan kemudian berkemahiran tinggi, berteknologi tinggi,” katanya.
Sze Han berkata, sebahagian inisiatif utama ialah bekerjasama dengan peneraju semikonduktor global seperti CMSC Inc dan MaiStorage, bagi pemindahan kepakaran dan pengetahuan kepada jurutera tempatan melalui program latihan, bengkel dan program mentor.
Beliau berkata, Pemacu Semikonduktor Malaysia turut membantu pencari kerja dengan meningkatkan kemahiran bakat tempatan menerusi pembangunan pengalaman profesional dalam sektor semikonduktor.
Peranannya sama dengan Sekolah Digital Selangor yang menumpukan latihan teknologi tinggi, menyelaras kurikulum dengan keperluan industri dan projek praktikal menghasilkan graduan yang bersedia dengan pekerjaan.
Diolah daripada artikel Welcoming the best from Asean terbitan Selangor Journal edisi Julai