Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-78 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sistem institusi Raja Melayu bawa keamanan, elak huru-hara

SHAH ALAM, 19 JULAI: Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu harus dipertahan berikutan sistem itu membolehkan rakyat hidup aman damai tanpa kekacauan atau haru-biru.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah raja berdaulat yang juga pemerintah tertinggi negara bergelar Yang di-Pertuan Agong termasuk dalam Ulil Amri (pemimpin) yang wajib ditaati.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengibaratkan hubungan raja dan rakyat seperti pohon dengan akar, yang saling memerlukan untuk terus hidup serta menjalankan fungsinya dengan baik.

“Hubungan raja dan rakyat ini diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Maka sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan berangkat pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari TLDM Ke-90 sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut pada 26 April 2024. Foto BERNAMA

“Inilah disebut sebagai hubungan simbiosis yang menunjukkan raja memerlukan rakyat dan rakyat juga memerlukan raja sebagai tempat berlindung,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Titah itu merujuk khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri bertajuk “Raja Ditaati, Negara Dirahmati” selaras Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Surat Sumpah Jawatan itu dengan jelas menekankan Baginda akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan, selain memelihara kesucian agama Islam.

Sultan Selangor bertitah Istiadat Pertabalan esok juga sangat signifikan kerana ia lambang sistem raja berperlembagaan dan menjulang tinggi darjat Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara.

Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, akan ditabalkan dalam istiadat penuh tradisi Kesultanan Melayu, esok.

Pasukan pengiring melakukan raptai bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2024. Foto BERNAMA

Acara sempena istiadat itu bermula semalam dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang, diikuti khutbah Jumaat khas hari ini.

Acara lain yang akan diadakan ialah majlis santapan diraja di Istana Negara, esok, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Selain itu, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 September depan untuk melihat kira-kira 130 koleksi diraja.


Pengarang :