Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau selepas merasmikan Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Kampung Sungai Darah, Kuala Selangor pada 18 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SJAM beroperasi Oktober, tiada lagi lanjutan buat kontraktor

OLEH DANIAL DZULKIFLY

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor memberi jaminan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) beroperasi sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini, tanpa tempoh lanjutan diberikan kepada kontraktor.

EXCO infrastruktur menjelaskan projek merangkumi empat pakej membabitkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa satu hingga tiga mencapai 89.54 peratus kemajuan setakat ini.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri, Ir Izham Hashim berkata kemajuan tersebut juga 1.62 peratus lebih rendah berbanding unjuran 91.16 peratus mengikut jadual asal.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Projek itu dijangka siap September. Ujian dan pentauliahan akan mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum ia beroperasi sepenuhnya menjelang Oktober,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah pakej D projek itu di Semenyih tertangguh seketika susulan penemuan paip utiliti milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan perlu dialihkan.

Bagaimanapun, Ir Izham memberi jaminan tiada lagi lanjutan masa diberikan jika kelewatan menyiapkan projek tersebut disebabkan kesalahan kontraktor sendiri.

“Sebaliknya, ganti rugi tertentu pada kadar ditetapkan akan dikenakan untuk tempoh kerja yang tidak siap, mengikut peruntukan dipersetujui dalam syarat kontrak,” katanya.

SJAM yang diperkenal menerusi Belanjawan Selangor 2021 bertujuan menangani insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah di negeri itu.

Ia turut melibatkan inisiatif rondaan dan pemantauan proaktif 24 jam yang digerakkan Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).


Pengarang :