EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Skim Smart Sewa: Negeri tawar 1,287 unit rumah untuk penduduk gaji rendah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 1,287 unit Rumah Selangorku diluluskan untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa sejak 2017 hingga Jun lalu, bagi membantu golongan berpendapatan rendah menyewa kediaman.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata inisiatif membabitkan 32 projek dengan peruntukan RM240 juta turut membantu penyewa mendapat pulangan sebanyak 30 peratus sepanjang tempoh menyewa.

“Kerajaan Negeri memperkenal skim ini untuk membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman dengan kadar sewa berpatutan berbanding harga pasaran.

“Mereka diberi tempoh sewaan selama dua hingga lima tahun dan mendapat semula pulangan 30 peratus wang sewaan bersih apabila tamat tempoh,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Borhan berkata pentadbiran negeri menyasarkan lebih 3,000 Skim Smart Sewa bakal disediakan menjelang 2026 sebagai usaha membantu pasangan muda yang baharu berkahwin.

Skim tersebut diperkenal untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri dalam tempoh tertentu.

Menjelang tahun depan, Kerajaan Selangor menyasar pembinaan 60,000 unit kediaman menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.


Pengarang :