Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San ketika sidang media selepas persidangan program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Bangunan Wisma DNS, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Speaker belum putuskan status ADN Selat Klang, masih teliti dokumen

SHAH ALAM, 3 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) belum memutuskan status Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang Datuk Abdul Rashid Asari yang digugurkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Speaker Lau Weng San menjelaskan pihaknya masih meneliti dokumen dan notis diserahkan Pengerusi Bersatu Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Jun, sebelum membuat ketetapan.

“Buat waktu sekarang masih lagi dalam kajian (penelitian dokumen). Belum ada kepastian lagi untuk dibawa ke sidang DUN,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menyerahkan notis pengosongan kerusi DUN Selat Klang berikutan Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Abdul Rashid kemudian digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Pada 26 Jun, Abdul Rashid menyatakan beliau akan tetap hadir seperti biasa ke DNS dan menjangka keputusan statusnya akan dibuat dalam persidangan berkenaan.


Pengarang :