Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Speaker sangkal tuduhan Azmin, pembangkang diberi lebih ruang berbahas, bertanya

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 64 pertanyaan lisan dan 84 soalan tambahan dijawab sepanjang lima hari persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berakhir pada 12 Julai.

Membalas kenyataan ketua pembangkang negeri, Speaker Lau Weng San memberitahu pecahan soalan antara Ahli Dewan Negeri yang mewakili kerajaan, pembangkang dan Bebas juga seimbang iaitu:

  • 35 ADN kerajaan (35 soalan atau 55 peratus)
  • 21 ADN pembangkang (27 soalan atau 42 peratus)
  • ADN Bebas iaitu Selat Klang (2 soalan atau tiga peratus)

Beliau menjelaskan 84 soalan tambahan daripada 64 pertanyaan lisan dibenar, malah wakil rakyat pembangkang diberi lebih banyak peluang berbanding ADN kerajaan iaitu:

  • 23 ADN kerajaan (38 soalan atau 45 peratus)
  • 21 ADN pembangkang (45 soalan atau 54 peratus)
  • ADN Bebas iaitu Selat Klang (1 soalan atau satu peratus)

Katanya, pengerusi penyokong kerajaan (backbenchers) berbahas Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama selama 25 minit, ketua pembangkang (50 minit) dan ADN Sijangkang (25 minit).

Beliau yang menjelaskan masa kepada wakil rakyat termasuk pembangkang jauh lebih banyak berbanding dua sesi sebelum ini berkata tuduhan ADN pembangkang diberi 10 minit tidak benar.

Menyangkal dakwaan kononnya tempoh DNS kali ini singkat, beliau menyenarai tempoh persidangan DNS antara 23 September 2014 hingga 18 Jun 2018 ketika Mohamed Azmin Ali menerajui negeri.

  • DNS antara 17 Ogos hingga 28 Ogos 2015 berakhir pada 20 Ogos
    (bersidang empat hari tanpa tambahan masa)
  • DNS antara 1 Ogos hingga 12 Ogos 2016 tamat pada 2 Ogos
    (bersidang dua hari tanpa tambahan masa)
  • DNS antara 24 Julai hingga 28 Julai 2017 habis pada 25 Julai
    (bersidang dua hari tanpa tambahan masa).

Sebaliknya, beliau memberitahu waktu persidangan dewan pada kali ini dipanjang antara satu hingga dua jam setiap hari, menjadikan jumlah masa dari segi jam melebihi seminggu.

Katanya, Dato’ Menteri Besar juga perlu mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada 17 dan 18 Julai selain Majlis Pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (20 Julai).

“Saya percaya Yang Berhormat ketua pembangkang tahu dan faham tugas Dato’ Menteri Besar dalam perkara ini,” katanya merujuk Azmin yang pernah menerajui negeri.

Pada 11 Julai, Azmin menerusi Facebook menuduh Weng San memendek hari persidangan DNS selain mendakwa waktu perbahasan wakil rakyat pembangkang dibataskan.

Mengenai kedudukan ADN Selat Klang sebagai wakil rakyat Bebas tanpa perlu mengosongkan kerusi, Weng San berkata keputusan dibuatnya dalam sidang dewan sebelum sesi itu ditangguh.

“Penjelasan telah diberi bagaimana keputusan itu dicapai. Fungsi Speaker bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor selepas ini disifat sebagai functus officio,” katanya.

Dalam kenyataannya, beliau selaku speaker tidak boleh memandang remeh terhadap sebarang tuduhan liar yang menuduhnya sebagai tidak adil dan berat sebelah.

“Ketua pembangkang perlu mengakui kesilapan-kesilapan ini, menarik balik kenyataan-kenyataan yang salah dan memohon maaf,” katanya.


Pengarang :