Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyertai sambutan ambang Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2024. Ketibaan Baginda disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan berkenan sertai sambutan ambang Maal Hijrah di masjid negeri

SHAH ALAM, 6 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyertai sambutan ambang Maal Hijrah di masjid negeri di sini, malam ini.

Baginda yang diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Baginda berkenan mengaminkan bacaan doa akhir dan awal tahun sebelum solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta mendengar ceramah ‘Hijrah Itu Kemerdekaan’ yang disampaikan oleh Pahrol Mohamad Juoi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengaminkan bacaan doa akhir dan awal tahun ketika sambutan ambang Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Baginda bersama Tengku Permaisuri kemudiannya berangkat ke Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam bagi menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri dan majlis santapan.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad mengumumkan Dato’ Abdul Majid Omar sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H.

Abdul Majid, 84, merupakan mantan timbalan mufti negeri selama 17 tahun bermula 2 Januari 1998 hingga 31 Disember 2015.

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ yang bermaksud kesejahteraan dan kejayaan. Al-Falah dipilih sempena salah satu lafaz azan yang bermaksud ‘marilah menuju kejayaan (Al-Falah).’


Pengarang :