Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 20 Julai 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan Ibrahim diasuh semangat ketenteraan, pelajari pentadbiran negeri

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Sultan Ibrahim mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru.

Putera sulung Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah itu kemudiannya bersekolah di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda turut mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Pada 1968 hingga 1970, Sultan Ibrahim belajar di Sekolah Trinity Grammar, Sydney, Australia sebelum ke Maktab Sultan Abu Bakar dari 1971 hingga 1975.

Kerjaya ketenteraan Baginda bermula dengan menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai platun komander sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat.

Ketika inilah bakat kepemimpinan Sultan Ibrahim mula diasah sekali gus membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.

Dalam latihan ketenteraan di Fort Benning, Baginda menjalani latihan ‘airborne’ dan ‘ranger’ untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi mendorong Baginda meneruskan latihan pasukan khas Amerika dan Pathfinder di mana, Baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Baginda kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando.

Latihan juruterbang

Pencapaian membanggakan itu turut membolehkan Baginda ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

Sultan Ibrahim pernah menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak melengkapkan kemahiran Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Selain latihan ketenteraan, Baginda meneruskan pelajaran di Sekolah Undang-undang dan Diplomasi Fletcher di Universiti Tufts di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Baginda melengkapkan dua kursus iaitu ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Law of the Seas’ – sebagai persediaan menjadi seorang raja berwibawa dan dihormati.

Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek-aspek pengurusan serta selok-belok pentadbiran negeri.

Baginda pernah berkhidmat di jabatan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pejabat Perbendaharaan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian.

Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Pada 22 September 1982, Baginda diijab kabul bersama Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Selepas Raja Zarith Sofiah menamatkan pengajian sarjana muda di Universiti Oxford, United Kingdom, Baginda berdua bersemayam di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada 1983.

Pasangan diraja ini dikurniakan lima putera dan seorang puteri.

Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Sultan Ibrahim, sebagai Tunku Mahkota Johor ketika itu, dilantik sebagai Pemangku Sultan semasa Almarhum Sultan Iskandar menjalankan tugas Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah tidak pernah mengganggap tanggungjawab kepada rakyat jelata sebagai beban, malah Baginda berdua sentiasa melaksanakannya dengan penuh amanah dan ikhlas, di samping mengimbangi tanggungjawab kepada keluarga.

Semangat dan nilai-nilai kebertanggungjawaban serta dedikasi kepada tugas diterapkan dalam diri Sultan Ibrahim sejak usia muda oleh ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Iskandar.

Malah, nenda Baginda, Almarhum Sultan Ismail turut banyak menurunkan bimbingan dan ilmu bagi membentuk cucundanya menjadi seorang Raja yang berwibawa.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan di Istana Besar, Johor Bahru pada 23 Mac 2015.

Diterbitkan semula daripada portal Istana Negara


Pengarang :