EXCO Belia, Sukan Mohd Najwan Halimi (empat, kiri) menyerahkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC berjumlah RM76,490.06 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (empat, kanan) sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 3 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung solidariti Selangor FC terima lebih RM76,000, atasi jumlah denda RM60,000

SHAH ALAM, 3 JULAI: Tabung Solidariti Bersama Selangor FC (SFC) yang dibuka 26 Jun hingga semalam berjaya mengumpul RM76,490.06 sumbangan, melebihi jumlah denda RM60,000 yang dikenakan terhadap pasukan tersebut.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah itu membuktikan pasukan Gergasi Merah menerima sokongan kuat dari kalangan rakyat Malaysia, yang juga tidak bersetuju dengan situasi berlaku dalam kancah bola sepak negara.

“Sambutan memberangsangkan. Secara keseluruhannya, Tabung Solidariti Bersama SFC berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM76,490.06.

“100 peratus hasil sumbangan akan diserah kepada SFC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga peringkat tertinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis serahan kutipan berkenaan hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media majlis penyerahan kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 3 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penyerahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SFC Dr Johan Kamal Hamidon disempurnakan EXCO Sukan Najwan Halimi.

Amirudin berkata wakil rakyat iaitu EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin serta Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong dan ADN Kota Kemuning S Preakas turut menyalur sejumlah sumbangan.

“Selain itu, Majlis Bandaraya Shah Alam serta KDEB Waste Management antara penyumbang terbesar dengan masing-masing menyerahkan RM10,000,” katanya.

Sementara itu Johan menzahirkan rasa terharu terhadap sumbangan besar diberikan peminat bola sepak yang turut bersimpati dengan insiden menimpa SFC.

“Pada hari MFL (Liga Bolasepak Malaysia) umumkan denda, kita lihat di sosial media sama ada Facebook, Instagram, Laman X, ramai yang tawar beri sumbangan.

“Kerajaan Negeri tampil ambil inisiatif tanpa penglibatan SFC. Sokongan ini tunjukkan bola sepak milik rakyat dan apa yang rakyat rasa betul, mereka luahkan. Ini tunjukkan kuasa rakyat,” katanya memaklumkan lebihan sumbangan akan digunakan untuk proses seterusnya.

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor melancarkan tabung berkenaan susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan MFL kepada skuad Gergasi Merah.

Pada 27 Jun, MFL menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hukuman denda dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik.

Pada 30 Jun, Johan berkata pihaknya sudah memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

 


Pengarang :