Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 20 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tayangan video riwayat hidup Sultan Ibrahim pengisian Majlis Santapan Diraja

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Tayangan video riwayat hidup Sultan Ibrahim menjadi antara pengisian istimewa pada Majlis Santapan Diraja sempena istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, malam ini.

Ditayangkan menerusi skrin di dalam Dewan Santapan Utama, Istana Negara di sini, video tersebut memaparkan peristiwa penting kehidupan Sultan Ibrahim antaranya detik Seri Paduka Baginda diputerakan pada 22 Nov 1958.

Turut dipaparkan menerusi video istimewa berdurasi 3.11 minit itu adalah perkahwinan Diraja dengan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 22 Sept 1982 yang turut berkenan berangkat pada majlis santapan malam ini.

Video pemasyurkan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 serta Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Y​​​ang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung pagi tadi, juga ditayangkan.

Turut berangkat ke majlis santapan itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Raja-Raja Melayu yang berangkat pada majlis malam ini ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Berangkat sama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif.

Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra turut berangkat.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, adalah antara 700 tetamu yang hadir pada majlis santapan itu.

Turut hadir, Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching, Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin, barisan Jemaah Menteri, duta dan perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan.

Terdahulu, sebaik sahaja keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di dalam dewan, lagu Negaraku dimainkan diikuti bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Sambil menjamu selera dengan menu pilihan Sultan Nazrin, hadirin dihiburkan dengan lagu-lagu Johor antaranya Seri Johor, Zapin Saujana dan Pusaka Bangsa oleh Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya.

Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam temu bual bersama Bernama pada 1 Julai lalu, memberitahu bahawa Sultan Ibrahim sendiri telah memberi perkenan kepada Sultan Nazrin untuk memilih menu sajian pada Majlis Santapan Diraja malam ini.

Persembahan muzik instrumental semasa santapan, yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, turut menyajikan lagu-lagu malar segar seperti Sway, Sedetik Lebih, Widuri, Tunggu Sekejap, dan Can’t Help Falling in Love.

-BERNAMA

 


Pengarang :