uasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempoh sah pasport dicadang 10 tahun, perincian diumum tempoh terdekat

KOTA KINABALU, 12 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk mengeluarkan pasport bagi tempoh sah laku selama 10 tahun, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tarikh pelaksanaan pengeluaran pasport itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas kajian mengenai perkara itu selesai dijalankan.

“Apakah kita sudah bersedia, ya…setelah kajian sempurna kita membuat ketetapan bahawa kita ke arah itu (pasport 10 tahun),” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan pejabat pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pasport itu membolehkan rakyat negara ini mempunyai pilihan sama ada menggunakan pasport tempoh sah lima atau 10 tahun.

Beliau berkata sebelum ini beberapa kajian libat urus telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen untuk melihat kesesuaian bagi Malaysia mengeluarkan pasport berkenaan seperti amalan negara lain.

Saifuddin Nasution berkata ia bukan perkara baharu kerana negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura selain Amerika Syarikat serta Itali turut mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata pemegang pasport Malaysia boleh mendapat pengecualian visa hampir di 183 buah negara sekali gus meletakkan negara di tempat ke-12 dalam ranking dunia berdasarkan data pada 2024 yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

Mengenai pembukaan pejabat pasport di LTAKK itu, Saifuddin Nasution berkata ia adalah pejabat Jabatan Imigresen ke-72 di seluruh negara dan pertama terletak di dalam bangunan lapangan terbang.

“Di Sabah ia adalah pejabat Jabatan Imigresen ketujuh dan telah beroperasi sejak dua minggu lepas. Buat permulaan pejabat berkenaan hanya memproses permohonan bagi urusan pasport antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata laluan pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau juga telah ditambah kepada enam laluan bagi memudahkan urusan kepada penumpang di Pantai Timur Sabah.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :