Orang ramai sudah mula melalui Jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter yang telah dibuka kepada pengguna selepas dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 08 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIASELANGOR
ADNSELANGOR

Tidak perlu lagi hadap trafik sesak, penduduk tarik nafas lega

KUALA LANGAT, 8 JULAI: Pembukaan jejambat Bandar Saujana Putra di sini melegakan penduduk sekitar kerana tidak perlu lagi berdepan masalah kesesakan trafik terutama pada waktu puncak.

Wakil jawatankuasa perhubungan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Kuala Langat berkata pembinaan jejambat itu turut mengubah landskap kehidupan dan jadual harian penduduk yang sebelum ini terkesan dengan kesesakan lalu lintas sejak kira-kira 10 tahun.

“Tidak perlu lagi keluar terlalu awal seperti sebelum ini, ada yang sanggup keluar rumah jam 4.30 pagi untuk ke tempat kerja kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan.

Wakil jawatankuasa perhubungan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Kuala Langat, Shamsuddin Salleh pada 08 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIASELANGOR

“Pembinaan jejambat ini yang dilengkapkan dengan sistem lampu isyarat di persiaran Bandar Saujana Putra juga meningkatkan kelancaran trafik kawasan sekitar yang menghubungkan pelbagai persimpangan termasuklah ke Rimbayu, Putrajaya, Kajang dan Shah Alam,” kata Shamsuddin Salleh ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, jurutera, Shazwani Rahmat, 38, berkata beliau terpaksa menghadap rutin harian keluar rumah seawal 5.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah selama kira-kira enam tahun.

“Walaupun anak masuk jam 7.20 pagi, kami perlu keluar paling lewat jam 5.30 pagi kerana sekolah terdekat ketika itu di Seksyen 27, Shah Alam. Kini dengan terbinanya jejambat ini trafik lebih lancar.

“Tiada lagi episod keluar awal pagi akibat kesesakan yang sangat memberi kesan kepada kesihatan mental penduduk termasuklah anak-anak sekolah,” katanya.

Jurutera, Shazwani Rahmat, 38 pada 08 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIASELANGOR

Pengerusi Surau Al Mukmin Pangsapuri Seri Saujana, Mohd Zaidi Zakaria berkata kini surau berkenaan menerima kehadiran lebih ramai jemaah terutama pada waktu Subuh dan Maghrib.

“Jadual harian penduduk dan anak sekolah sudah bertukar. Jadi jemaah di surau semakin bertambah kerana mereka tidak lagi perlu keluar terlalu awal dan sempat solat Subuh di surau. Malah jemaah Maghrib juga ramai.

“Jika dulu, ada yang sanggup berpindah kerana tidak tahan dengan tekanan kesesakan trafik. Memang masalah ini memberi kesan kepada mental dan kehidupan kami dulu,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan pembukaan jejambat sepanjang 820 meter itu yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE).

Menurut Amirudin pembinaan jejambat ini merungkai keresahan penduduk di kira-kira 4,000 kediaman sekitar yang berdepan isu kesesakan trafik untuk sekian lama.


Pengarang :