AGENDANASIONAL

Tiga lelaki melecur selepas tangki bot penumpang meletup

MERSING, 19 JULAI: Tiga lelaki melecur selepas sebuah bot penumpang meletup pada bahagian tangki lalu terbakar di MSG Boat Building di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata mangsa Jumarianto Darto, 51, dan anaknya, Muhammad Hazmi Farhan Jumarianto, 20, serta Muhammad Iman Abd Ghaffar, 37, telah dihantar ke Hospital Mersing oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.20 pagi sebelum dua jentera “Light Fire Rescue Tender” (LFRT) dengan kekuatan 14 anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati benar sebuah bot dalam keadaan parkir di sebuah bengkel berukuran 30×10 kaki terbakar 80 peratus dengan tiga mangsa yang berada dalam bot tersebut melecur.

“Menurut adik salah seorang daripada mangsa, bot itu akan dihantar ke Kuantan dan tangki minyak harus dikosongkan. Semasa pengosongan tangki tersebut, berlaku letupan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.15 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung insiden terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :