KUALA LUMPUR 31 JULAI: Tiga pembantu rumah warga asing yang disyaki tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu diselamatkan polis dan seorang majikan wanita ditahan dalam Op Pintas di Bandar Rimbayu di Kuala Langat, semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata operasi itu dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Dua pembantu rumah warga Indonesia dan seorang rakyat Nepal yang berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 44 tahun itu diselamatkan di sebuah kediaman dua tingkat pada 11 malam.
“Polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun yang juga majikan mangsa serta seorang wanita Indonesia berusia 37 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa dipercayai bekerja di rumah itu tanpa bayaran sementara menunggu mendapat pekerjaan di tempat lain.
Siasatan awal mendapati suspek yang disyaki ejen pembantu rumah tidak berdaftar dan menjanjikan mangsa dengan gaji RM1,200 sebulan.
Beliau berkata suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi siasatan lanjut.
– BERNAMA