Selangor Red Giants meraikan kemenangan selepas muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Julai 2024. Foto Facebook Esports World Cup
AGENDANASIONAL

TPM ucap tahniah Selangor Red Giants juara MLBB 2024

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MSC MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi malam tadi.

Beliau menyifatkan kejayaan SRG, yang menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai RM4.7 juta dan menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan, sebagai kejayaan yang amat membanggakan dan mengharumkan nama negara.

“Dedikasi dan komitmen yang anda tonjolkan di kejohanan ini pastinya akan menjadi pemangkin kepada perkembangan industri e-sukan negara seterusnya melahirkan lebih ramai atlet profesional yang berdaya saing dan berkemahiran dalam permainan digital yang saya lihat semakin mendapat tempat di hati anak muda,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran itu, Ahmad Zahid juga menyatakan komitmen penuh beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan untuk membangunkan industri sukan digital itu.

Pada aksi final itu, SRG menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3, walaupun bermula dengan langkah kiri apabila tewas perlawanan pertama dengan keputusan 23 ‘kills’ berbalas 16.

Pemain jungler SRG Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul atau lebih dikenali Sekyss dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024.

– BERNAMA


Pengarang :