AGENDAJENAYAH

Tuduhan menghasut: Bicara kes MB Kedah ditangguh ke 27 September

SHAH ALAM, 22 JULAI : Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dua pertuduhan menghasut yang dijadual hari ini ditangguh ke 27 September.

Hakim Dato Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan bagi Muhammad Sanusi, 50, menghantar representasi terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara, minggu lalu.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi berkata pihaknya percaya Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk mempertimbang dan meneliti kes tersebut.

“Saya percaya Jabatan Peguam Negara perlu masa mempertimbangkan representasi tersebut serta perkembangan baharu dalam kes ini.

“Oleh demikian, saya cadangkan penangguhan selama dua bulan untuk pihak berkenaan mendapat maklumat penuh dan mempertimbang representasi tersebut. Jika mahkamah setuju saya mohon penetapan kes dalam masa dua bulan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan menerima representasi berkenaan dan tidak membantah sekiranya mahkamah bertindak menangguhkan perbicaraan.

“Pendakwaan mengesahkan menerima representasi dalam kes ini, bagaimanapun kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti permohonan tertuduh,” katanya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan 27 September ini bagi pengurusan kes sebelum tarikh baharu perbicaraan ditetapkan.

Justeru itu, tarikh perbicaraan iaitu 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13 dan 23 Ogos yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan.

Sementara itu, Awang Armadajaya ketika ditemui selepas prosiding berkata representasi kedua itu dihantar pada minggu lalu.

“Representasi terbaharu itu untuk mengkaji pertuduhan termasuk menggugurkan kes tersebut,” kata peguam itu.

Muhammad Sanusi ketika ditemui memaklumkan beliau bersedia menerima sebarang keputusan yang diputuskan oleh mahkamah.

“Sedia atau tidak tetap kena datang (Ready tak ready tetap kena mai noh),” katanya.

Muhammad Sanusi berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik di Gombak pada 11 Julai 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pengarang :