Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Umat Islam perlu bersama bangunkan negara, henti seteru sesama sendiri

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Umat Islam perlu bertekad bersama-sama membangunkan negara berasaskan nilai Islam dengan bertunjangkan semangat Al-Falah (kejayaan), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata ia bertepatan dengan tema Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ yang turut menjadi asas penghayatan majlis sambutan tahun baharu kalendar Islam itu.

“Cukup-cukuplah kita berseteru sesama sendiri. Ia amat merugikan agama dan negara. Umpama yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang.

“Segala kesumat kebencian perlu dileraikan dengan nilai rahmah dan kasih sayang,” katanya dalam sembah ucapan menjunjung kasih pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis itu

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohd Na’im turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan keharmonian negara dengan berpandukan Fiqh Ta’ayush (fiqh kewujudan bersama).

“Usahlah sentimen keagamaan dan perkauman dijadikan alat untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau berkata semangat Maal Hijrah menuntut umat Islam untuk membuka lembaran baharu dan bangkit menguasai pelbagai disiplin ilmu serta kepakaran selain perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi memajukan daya saing yang berkemahiran tinggi.

“Umat Islam tidak boleh ketinggalan di belakang daripada menguasai bidang keilmuan demi memakmurkan negara,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada umat Islam dan mahu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dijadikan sebagai iktibar dalam meningkatkan iltizam untuk terus berusaha bersungguh-sungguh demi melaksanakan agenda Al-Falah bagi memacu Malaysia MADANI.

— BERNAMA


Pengarang :