EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Usaha tangani masalah mental, negeri tempatkan kaunselor di setiap daerah

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Negeri akan menempatkan kaunselor di sembilan daerah selewat-lewatnya penghujung tahun ini bagi membantu menangani masalah mental.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu merupakan projek rintis Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Kaunselor Antarabangsa Malaysia (PERKAMA).

“Ini merupakan projek rintis Kerajaan Negeri bertujuan menyediakan perkhidmatan kaunselor bersama PERKAMA yang dirancang tahun ini dengan mensasarkan penempatan sembilan kaunselor di setiap daerah.

“Kita memilih sembilan daerah sebagai projek rintis kerana mengambil sudut peruntukan dana. Selepas dilaksana, kita akan lihat maklum balas projek ini untuk tindakan lanjut,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jamaliah menjelaskan sebanyak 1,354 individu menghubungi talian khas di bawah program Selangor Mental Sihat (SEHAT) setakat 30 Jun lalu.

“Setakat ini, seramai 281 pesakit menerima subsidi rawatan psikiatri yang melibatkan konsultasi daripada pakar dengan anggaran kos rawatan RM200 bagi satu sesi.

“Berdasarkan perbincangan, terdapat beberapa punca menyebabkan masalah kesihatan mental antaranya tekanan hidup, pekerjaan, situasi keluarga dan keganasan domestik,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :