Keadaan motosikal Siti Norelyana Kamaruzan, 21, selepas dihempap beberapa kayu balak yang jatuh dari sebuah lori ketika sedang berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 9 Julai 2024. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Wanita dihempap kayu balak ditidurkan, keluarga mohon doa orang ramai

GUA MUSANG, 10 JULAI: Wanita yang nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara di sini semalam terpaksa ditidurkan ketika mendapat rawatan di Hospital Gua Musang.

Abang mangsa Mohamad Azwa Kamarulzaman, 28, berkata adiknya Siti Norelyana, 21, kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kira-kira 8 malam tadi dan berada dalam pemantauan rapi petugas kesihatan.

Beliau berkata adiknya akan menjalani pembedahan akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan antaranya tulang belakang, tulang rusuk, hati dan paru-paru.

“Adik saya ditidurkan kira-kira 6 petang semalam dan sekarang ini doktor sedang merawat bahagian usus yang berkemungkinan mengalami komplikasi.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan adik saya dan berharap semua terus kekal berdoa supaya dia dapat pulih,” katanya hari ini.

Mohamad Azwa berkata mengikut perancangan Siti Norelyana akan melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun ini.

Siti Norelyana nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya dihempap kayu balak yang dibawa sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kemalangan berpunca ‘turn-table’ lori balak itu patah ketika mengambil selekoh.

– BERNAMA


Pengarang :