Warkah persilaan menggunakan tulisan jawi yang ditulis tangan diletakkan di dalam kapsul khas untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama (TYT) sempena istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Warkah persilaan guna khat jawi tulisan tangan, dihiasi ayat al-Quran

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Menjadi amalan raja-raja, warkah persilaan akan diutus kepada ketua sesebuah negara dan negeri untuk undangan hadir ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Tradisi itu bermula sejak pertabalan Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad sebagai ketua negara pertama pada 1957, sekali gus menjadi sebahagian keunikan institusi raja berperlembagaan di Malaysia.

Warisan diraja itu sekali lagi dipraktikkan pada istiadat pertabalan Sultan Ibrahim di Balairung Seri, Istana Negara tanggal 20 Julai ini sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, warkah persilaan menggunakan bahasa Melayu, ditulis jawi dengan tangan dan diletak dalam kapsul khas untuk dipersembah kepada raja-raja dan yang dipertua negeri.

Menurut pegawai istiadat Istana Negara itu, utusan menyampaikan warkah persilaan terdiri daripada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli dan beliau sendiri selaku wakil Istana Negara.

“Kita berusaha sebaik mungkin untuk menghadap ke bawah duli Baginda secara penuh tertib dan santun, untuk menyembahkan warkah persilaan ini dengan penuh adat istiadat,” katanya kepada Bernama.

(Dari kiri) Pelukis kaligrafi tulisan jawi dan penggiat seni khat tanah air Abdul Baki Abu Bakar, 50, bersama Ketua Penyelaras Akademi Khat Negeri Pahang di Yayasan Pahang Khairi Izat Amir Mohd Izam, 31, menunjukkan Warkah Persilaan yang ditulis mereka sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Foto BERNAMA

Warkah itu menggunakan laras bahasa istana yang halus sebagai perantaraan dalam kalangan raja-raja yang menitikberatkan penghormatan kepada Baginda sultan lebih tua dan menggunakan panggilan hormat untuk Baginda sultan lebih muda.

Sebanyak 16 warkah persilaan dipersembahkan dan yang terakhir, disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Julai.

Warkah turut dipersembah kepada Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al-Khalifa. Manakala Sultan Ibrahim sendiri mempersembah warkah persilaan kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Penulis warkah Abdul Baki Abu Bakar, 50, berkata, beberapa jenis khat digunakan dalam penulisan warkah persilaan, antaranya khat nasakh, thuluth dan muhaqqaq bagi menghasilkan tulisan khat jawi kemas, seimbang dan mudah dibaca.

Dakwat import

“Sebelum kita mulakan proses menulis, kita akan berbincang dahulu dengan pihak istana, khat apa yang kita akan gunakan dan saya juga beri cadangan tentang khat yang kebiasaannya digunakan oleh penulis khat di Malaysia.

“Pada warkah ini, kebiasaannya kita akan mulakan dengan basmalah, kemudian ada sepotong ayat al-Quran dan disusuli teks warkah persilaan yang mana kandungannya menjemput sultan atau raja untuk hadir ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Meski sudah 30 tahun bergiat dalam penulisan khat, Abdul Baki berkata tugas itu tidak mudah dan masih mengambil masa kerana perlu memastikan pena dan dakwat digunakan sesuai dengan jenis khat, panjang teks dan ruang warkah.

Ketua Penyelaras Akademi Khat Negeri Pahang Khairi Izat Amir Mohd Izam, 31, menyifatkan tanggungjawab menyiapkan warkah persilaan sangat besar.

Selain pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berkaitan seni khat, Khairi Izat Amir berkata alatan menulis khat juga penting kerana akan menentukan kekemasan dan keindahan warkah itu.

Katanya, kebanyakan penulis khat menggunakan dakwat import dari luar negara seperti Jepun atau Jerman yang lebih sesuai dan berkualiti.

Bagi warkah persilaan itu, beliau lebih selesa menggunakan pena besi kerana senang digunakan, tidak mudah tumpul serta menghasilkan tulisan yang lebih kemas.

Menurut beliau, ada juga penulis khat lebih selesa menggunakan batang resam sebagai pena. Pena itu diambil daripada pokok resam atau spesies paku-pakis yang lazim digunakan menulis al-Quran.

Diolah daripada artikel Bernama bertajuk Sarat tradisi, warkah persilaan undangan ke pertabalan Agong ke-17


Pengarang :