AGENDANASIONAL

Wisma Putra: Pelajar Malaysia dipindah ke Suruhanjaya Tinggi di Bangladesh demi keselamatan

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menegaskan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara menjadi kepentingan utama berikutan situasi semasa di Bangladesh.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian mengesahkan pelajar Malaysia yang terjejas oleh situasi semasa di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi untuk keselamatan mereka.

“Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh. Selain menilai perkembangan terkini dengan teliti, kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu.

“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya.

Kementerian juga menggesa semua pelajar Malaysia untuk kekal berhubung dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi di sana.

“Kementerian telah mengaktifkan bilik operasi, yang boleh dihubungi ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Bangladesh di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected],” kata Wisma Putra.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang menjanjikan bantuan untuk mereka di Bangladesh dan mengesahkan sebarang maklumat dengan menghubungi bilik operasi.

Ia menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa.

Kementerian memantau rapi situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sehingga Jumaat lalu daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua orang telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara semalam sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

Perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih, dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.

– BERNAMA


Pengarang :