Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor beramah mesra bersama penerima sambil menyampaikan sumbangan ketika Majlis serahan sumbangan mangsa bencana angin kencang dan ribut petir di Dewan Orang Ramai, Kuala Langat pada 18 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yayasan MBI peruntuk RM1 juta bantu institusi, mangsa bencana negeri

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan peruntukan RM1 juta tahun ini khusus untuk membantu mangsa terbabit kejadian bencana.

Ketuanya Ahmad Azri berkata setakat Julai, sebanyak RM500,000 telah digunakan termasuk pemberian wang tunai kepada 75 mangsa ribut kencang di Teluk Panglima Garang, dekat sini hari ini.

“Setiap tahun memang kita sediakan sejumlah peruntukan sebagai persediaan sekiranya berlaku bencana. Tak kira apa bentuk bencana sama ada banjir, ribut atau kebakaran.

“Sumbangan tidak hanya tertumpu kepada mangsa sahaja tetapi juga tertumpu kepada baik pulih kediaman, masjid, surau atau sekolah yang ditimpa musibah,” katanya selepas mengagih sumbangan kepada mangsa ribut.

Dalam kejadian 14 April itu, sebahagian rumah penduduk di Kampung Telok Panglima Garang terjejas termasuk bumbung rosak dan tercabut berikutan hujan serta ribut kencang yang melanda.

Ogos tahun lalu anak syarikat Kerajaan Negeri itu turut menyalur RM124,700 bagi membantu mangsa bencana ribut di Morib dan baik pulih jeti nelayan di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu sebanyak RM76,000 diserahkan kepada 152 keluarga terlibat dengan masing-masing menerima RM500.

Manakala bakinya RM48,700 diserahkan kepada wakil nelayan bagi membaik pulih jeti nelayan Kampung Kelanang, Morib.

 


Pengarang :