KUALA SELANGOR, 27 OGOS: Seorang asnaf menzahirkan kesyukuran tatkala kediamannya yang agak uzur mendapat perhatian Kerajaan Selangor untuk dibaik pulih.
Mohd Faizal Hussin, 44, berkata beliau dan isteri Nor Fadillah Sahman, 42, akhirnya dapat menunaikan hasrat arwah ibu mentua untuk membaiki rumah tersebut.
“Sebenarnya rumah ini adalah antara peninggalan arwah ibu mentua saya kepada kami sekeluarga dan keadaan (rumah) sebelum ini memang agak daif, sering dimasuki air kerana bumbung sudah bocor.
“Alhamdulillah, walaupun arwah tidak sempat melihat rumah ini dibaik pulih tetapi saya dan isteri lega hasratnya tertunai. Terima kasih Kerajaan Negeri dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sudi membantu,” kata bapa tiga anak itu.
Ditemui di Kampung Permatang di sini, Mohd Faizal yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah medan selera mengakui pendapatannya hanya cukup untuk belanja seharian sahaja.
“Pendapatan saya tidak banyak lebih kurang RM70 sehari, kehidupan kami ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Apabila ada bantuan seperti ini syukur sangat.
“Kerja membaik pulih pun tidak lama hanya 16 hari sahaja. Alhamdulillah, kini kami sekeluarga hidup lebih selesa dan tiada lagi air masuk ke dalam rumah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat ke rumah Mohd Faizal hari ini selepas ia dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan di bawah zakat wakalah MBI sebanyak RM40,000.