SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima 9,663 bantahan kadar cukai taksiran baharu setakat 23 Ogos lalu.
Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin berkata jumlah bantahan diterima itu adalah 21.95 peratus daripada keseluruhan pemegang harta iaitu 44,029 akaun.
“MPS telah memulakan proses pendengaran bantahan nilaian cukai taksiran bermula pada 1 Julai sehingga 31 Ogos depan. Kita mengambil maklum semua bantahan yang diterima sepanjang proses ini berjalan.
“Selepas ini, MPS akan membawa kadar nilaian baharu yang dicadangkan untuk kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam mesyuarat penuh bulanan semalam.
Sebanyak lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu termasuk MPS iaitu selama 32 tahun sejak 1992.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.
Bagi Majlis Perbandaran Sepang pula selama 29 tahun sejak 1996, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.
Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.
Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.
Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.