KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan perkhemahan diingatkan berwaspada dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan di tapak perkhemahan.
EXCO alam sekitar berkata garis panduan berkaitan perkara itu sudah lengkap dan perlu dipatuhi sepanjang masa bagi mengelak insiden tidak diingini dalam cuaca tidak menentu.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, agensi berkaitan juga diingatkan supaya meningkatkan pemantauan di lokasi berisiko, terutama hujung minggu dan cuti persekolahan tidak lama lagi.
“SOP di tapak perkhemahan sudah ada dan ia bukan hanya tertakluk pada cuti umum atau persekolahan sahaja. Saya juga sarankan pihak berkuasa memantau lebih kerap di kawasan berisiko,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Malar Hijau Semaian 33,333 Anak Benih Berembang di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini, semalam.
Pada Mac lalu, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan meluluskan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan sebagai panduan merancang dan memastikan tapak perkhemahan selamat.
Garis panduan untuk pengguna, pengusaha dan pihak berkuasa tempatan itu menumpukan tiga aspek utama iaitu perancangan, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak khemah.
SOP itu dikeluarkan susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember 2022, yang mengorbankan 31 nyawa termasuk kanak-kanak dan seorang bayi lelaki.
Kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu disifatkan kejadian tanah runtuh kedua terburuk di negara ini selepas insiden kondominium Highland Towers tumbang pada Disember 1993.