AGENDANASIONAL

Durian segar Malaysia dijual di China mulai hari ini

BEIJING, 26 Ogos: Durian segar pertama Malaysia ke China mula dijual di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara Tembok Besar itu mulai hari ini.

Wilayah tersebut ialah Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guanzhou, Shengzen dan Nanning.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata proses eksport durian segar itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada 19 Jun lalu.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa durian segar boleh didapati di pasaran China mulai hari ini.

“Durian segar yang dieksport ini telah mematuhi langkah fitosanitari ketat yang ditetapkan GACC bagi memastikan raja buah tersebut kekal segar, selain rasanya tidak menjejaskan standard keperluan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program “Taste Of Malaysia 2024” di sebuah pasar raya di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Beijing Norfarina Mohd Azmee.

Norman berkata sebelum ini Malaysia hanya mengeksport durian dalam bentuk biji (whole fruit) dan ulas (pulp) sejuk beku, pes serta produk agromakanan.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022 menggalakkan dengan nilai eksport melonjak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM1.14 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

Mengulas mengenai program Taste Of Malaysia 2024, Norman berkata acara yang berlangsung dari 23 Ogos hingga 1 September itu bertujuan menonjolkan dan mempromosikan produk Malaysia yang berkualiti tinggi serta lazat di pasaran China.

“Sepanjang program ini pelbagai produk Malaysia diketengahkan antaranya durian, Old Town White Coffee, snek tradisional Sabah seperti amplang serta makanan ringan dan pes masakan,” katanya kepada media selepas program tersebut.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap agar dapat membawa lebih banyak lagi produk Malaysia ke negara itu antaranya makanan pek dan berasaskan asas tani seperti tongkat ali serta minyak kelapa sawit.

“Daripada pihak kedutaan, kami masih membuat perancangan bersama agensi yang ada terutamanya, pertanian (Pejabat Penasihat Pertanian Kedutaan) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) di sini. Insya-Allah kita akan tengok lagi apa yang kita akan bawa (ke China).

“China ini mempunyai satu pasaran besar dan ia agak canggih sekarang, kita akan terus lihat produk yang sesuai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :