SHAH ALAM, 27 OGOS: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Selangor diteliti semula bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik dan selesa.
EXCO kebajikan masyarakat berkata tindakan itu susulan terdapat pusat pemindahan berada dalam keadaan daif dan tidak sesuai untuk warga emas serta orang kurang upaya.
“Baru-baru ini, berlaku kejadian banjir di Merbau Sempak PPS yang diduduki atapnya bocor, tandas rosak. Oleh itu, saya usulkan semua PPS di negeri ini diteliti semula khususnya berkaitan infrastruktur.
“Walaupun kita nak menyelamatkan mereka di PPS tetapi penempatan ini mesti siap siaga walaupun tidak sempurna dan kita tidak mahu ada insiden bumbung bocor dan sebagainya,” kata Anfaal Saari.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis graduasi ILSC di sini, semalam.
Sebelum ini, EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dalam sidang Dewan Negeri memaklumkan sebanyak 1,152 PPS diwartakan sebagai persediaan menghadapi bah di Selangor.
Menurut Mohd Najwan pewartaan itu dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dengan PPS itu disiapkan mengikut garis panduan.