Oleh Amirahwani Rahimi
SHAH ALAM, 5 OGOS: Peningkatan kualiti air Sungai Klang bakal memenuhi hasrat Kerajaan Selangor untuk menjadikannya sumber bekalan air baharu kepada penduduk menjelang 2025.
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor Hasrolnizam Shaari berkata ia juga diperlukan bagi menampung permintaan tinggi penduduk Lembah Klang, mencecah sembilan juta orang.
“Sungai Klang adalah sungai utama di Lembah Klang dan banyak aktiviti berlaku di sini. Justeru, sayang jika kita tidak gunakan sumber air daripada sungai itu.
“(Ditambah pula) pengguna air terawat kita besar lebih kurang sembilan juta orang, jadi kita perlukan sumber air yang banyak,” katanya dalam program Hai Selangor hari ini.
Beliau menambah proses rawatan air dari Sungai Klang akan dibuat di Loji Rawatan Air Sungai Rasau, selaras inisiatif pembangunan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Hasrolnizam menjelaskan elemen ancaman kepada Sungai Klang juga berjaya diatasi untuk memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien.
Pada 24 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kutipan sampah di Sungai Klang menurun sebanyak 67 peratus dan kini hanya mengumpul 5,600 tan metrik sampah sahaja.
Beliau menjelaskan projek bawah SMG itu berjaya mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sejak 2019 hingga Ogos tahun lalu menggunakan mesin Interceptor.
Sungai Klang berukuran sepanjang 120 kilometer, mempunyai 13 anak sungai utama dan menjadi lembangan sungai keempat terbesar di Malaysia.
Pada 2022, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjangka Sungai Klang akan menjadi sumber bekalan air baharu kepada penduduk terutama sekitar Klang menjelang 2025.