Masjid Jamek Cina Muslim Klang berkeluasan 2.98 ekar di Bandar Botanik, Klang yang boleh menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa dibuka kepada umat Islam mulai Khamis lalu.
Satu-satunya berciri seni bina Cina di Selangor, masjid itu mempunyai menara unik selain dilengkapi dewan solat berbumbung jubin tradisional Cina manakala kaligrafi Cina menghiasi ruang mihrab.
Masjid terdiri bangunan empat tingkat bernilai RM30 juta itu menyediakan pelbagai kemudahan antaranya perpustakaan, bilik kuliah, bilik persinggahan, kedai cenderamata dan restoran.
Kerajaan Selangor, Persatuan Cina Muslim Malaysia membiayai pembinaannya selain sumbangan orang ramai selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan pada Mei 2019.
Jurufoto Media Selangor Harun Tajudin merakam keunikan dan suasana masjid tersebut pada hari pertama pembukaannya untuk solat Maghrib pada 22 Ogos dan solat Jumaat sulung keesokannya.