SHAH ALAM, 28 OGOS : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan membuka 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh, tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Rosnani Abdul Malek berharap pembukaan pasar raya yang menawarkan barangan asas dengan harga murah akan meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
“Kita sedang meneliti kawasan bersesuaian. Kita sasar buka di kawasan luar bandar. Cawangan pertama pasar raya ini sudah buka di Bagan Nakhoda Omar. Kita sasar 10 cawangan lagi akan dibuka hingga hujung tahun ini.
“Pembukaan pasar raya ini seiring agenda negeri dan persekutuan untuk memperkasa industri kecil. Ia juga meluaskan jenama Ehsan di serata negeri,” katanya kepada Selangorkini hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Pasaraya Ehsan Segi Fresh pertama di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.
Pada Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.
PKPS juga mengendalikan program jualan murah enam barangan utama iaitu ayam, daging pejal, telur, ikan kembung, minyak masak dan beras di beberapa lokasi pada setiap hari kecual Jumaat dan cuti umum.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
