EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama penerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 23 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor laksana program pemberdayaan OKU, tingkat kemahiran jana pendapatan sendiri

SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor komited meneruskan program memberdaya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan kemahiran golongan itu sekali gus mampu berdikari dan memperolehi pendapatan sendiri.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata program Independent Living Support Centre (ILSC) diperkenal tahun lalu bagi menyediakan peluang pembelajaran dan pekerjaan kepada belia OKU berusia 17 hingga 25 tahun.

“Setakat ini 57 belia OKU berjaya menamatkan kursus dalam tiga program iaitu pengurusan kafe, bakeri dan pengurusan teknologi maklumat.

“Menerusi program itu mereka menuntut di Rumah Amal Cheshire, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Anfaal berkata sebahagian daripada mereka sudah mempunyai perniagaan sendiri selain ditawar pekerjaan hasil daripada jalinan kerjasama dengan industri.

“Matlamat kita mahu golongan OKU mampu hidup berdikari dan terlibat dalam kegiatan sosioekonomi. Sokongan kukuh keluarga, polisi dan institusi kerajaan serta jalinan dengan industri amat perlu dalam menjayakan perkara ini,” katanya.

Wawancara EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahudiin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengulas lanjut, Anfaal berkata Dasar Mesra OKU Selangor yang dijangka dilancar Disember bukan saja menumpu berkaitan aspek kebajikan tetapi lebih luas lagi meliputi aspek kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infra yang selesa.

“Ini mengambil kira semua aspek dan keperluan OKU daripada sekecil-kecil perkara seperti menikmati dan mengakses kemudahan yang disediakan seperti tandas, tempat letak kereta, ramp hinggalah kepada peluang pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

Katanya ekosistem sokongan OKU terus diberi perhatian menerusi penubuhan Cerebral Palsy Care Unit (CPCU) sebuah program khusus kepada golongan OKU kategori fizikal lumpuh otak.

“Model sistem sokongan seperti ini akan dikembangkan dari semasa ke semasa selepas ini bagi menyantuni pelbagai kategori OKU,” katanya.

Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan 2024 memperuntuk RM1 juta untuk Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi membantu ibu bapa mengurus anak OKU bawah 18 tahun.


Pengarang :