KLANG, 28 SEPT: Kira-kira 50 individu menyertai program Earth Warriors Day anjuran pusat pemborong terbesar di Malaysia, GM Klang sempena Hari Cuci Malaysia, hari ini.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata peserta yang terdiri daripada pengurusan GM Klang, pemborong dan komuniti setempat mengutip sampah sekitar pusat borong itu.
“Program dengan kerjasama Persatuan Pahlawan Bumi bertujuan memupuk kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar dengan peserta berjalan lebih 1 km sekitar GM Klang selama satu jam untuk mengutip sampah.
“Setiap tahun kita memang adakan program tanggungjawab sosial korporat tetapi kali ini lebih kepada alam sekitar kerana mahu memupuk pentingnya penjagaan alam sekitar dan tidak hanya bergantung dengan pihak berkuasa tempatan semata-mata,” katanya ditemui pada program berkenaan.
Turut hadir Pengarah Kumpulan GM Foo Loke Ping dan Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang Saribanon Saibon.
Program Earth Warriors Day merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu acara mega pembersihan seluruh negara yang berlangsung secara serentak hari ini.
Dalam pada itu, Saribanon menyifatkan inisiatif GM Klang menyertai program tersebut wajar dipuji kerana selain menjalankan perniagaan, pengurusan turut mementingkan penjagaan alam sekitar.
“Kita sentiasa beri kerjasama dalam program-program pembersihan supaya masyarakat ambil berat kebersihan kawasan sekitar selain tidak hanya bergantung pada agensi tertentu sahaja.
“Malah, GM Klang juga sentiasa menyalurkan maklumat kepada kita sekiranya terdapat sebarang permasalahan termasuk saliran dan kutipan sampah,” katanya.
Saribanon turut menyeru supaya peniaga setempat sentiasa memberi kerjasama dengan patuhi undang-undang dan menjaga kebersihan serta menguruskan sampah dengan beretika bagi mengelak penularan wabak denggi.