Oleh Ahmad Husain Ahmad
Iliustrasi FAHMI MUSTAFFA
Filem Chungking Express (1994) bukan sahaja tentang kisah cinta yang aneh, tetapi tentang kelucuan hidup yang aneh.
Ditanya tentang Chungking Express, pengarahnya Wong Kar Wai berkata, “filem ini adalah tentang Hong Kong. Filem ini adalah surat cinta saya kepada Hong Kong.”
Wong Kar Wai (WKW) dilahirkan di Shanghai. Ayahnya seorang pelaut. Ketika usianya 5 tahun, Revolusi Kebudayaan di China mula menampakkan tanda-tanda akan pecah. WKW dan ibu bapanya berhijrah ke Hong Kong. Abang dan kakaknya tidak sempat ikut kerana sempadan telah ditutup. Selama 10 tahun, China dan Hong Kong menjadi jarak yang memisahkan mereka sekeluarga.
Chungking Express diambil sempena nama Chungking Mansion, sebuah bangunan besar menempatkan kelab-kelab malam, restoran dan ratusan hotel bajet yang menjadi tempat persinggahan pengembara beg galas dari serata dunia. Di Chungking Mansion ada kelab malam paling gah di Hong Kong bernama Bayside. Di kelab malam itulah ayah WKW bekerja.
Malam-malam yang meriah, siang yang bising dan pengembara silih berganti di bangunan Chungking, menjadi gambaran paling diingati WKW sewaktu kecil. Pengembara daripada berbagai bangsa berpapasan, tinggal sebentar lalu kembali meneruskan perjalanan. Dari situ, WKW mula mengerti tentang hidup sebagai terminal waktu yang cepat berlalu.
Di daerah Tsu Sha Tsim, tempat WKW membesar, dia melihat banyak warna kehidupan dan wajah gelap Hong Kong saling bertangkup. Di sekolah pula, dia harus bergelut mempelajari bahasa Kantonis dan Inggeris. Hong Kong baginya terlalu asing dan sunyi. Namun dalam filem-filemnya, Hong Kong tidak pernah sunyi. Hong Kong selalu ada getar, gila dan geloranya sendiri.
Chungking Express merangkai dua cerita selari. Kedua-duanya berkisar tentang kesepian, kehilangan dan kenangan. Dua orang polis muda, He Zhiwu (Takeshi Kaneshiro) dan watak polis yang hanya dikenali sebagai Polis 663 (Tony Leung) sama-sama ditinggalkan kekasih. Mereka sedang melalui waktu-waktu sukar yang pedih. Di jalan, mereka selalu berselisih tanpa saling kenal. Mereka juga selalu memesan makanan dari kedai yang sama.
Putus cinta
He Zhiwu baru sebulan ditinggalkan kekasihnya, May. Dia masih mengharapkan May kembali padanya. Ketika May memutuskan cinta mereka pada tarikh 1 April, He Zhiwu menganggapnya sebagai lelucon April Fool. Namun akhirnya dia tahu, May memutuskan cinta mereka betul-betul.
“Kami berpisah pada hari April Fool. Aku buat keputusan mahu berlucu selama sebulan. Aku akan beli setiap hari satu nanas dalam tin yang akan tamat tarikh pada 1 Mei. May suka makan nanas dan 1 Mei adalah hari jadi aku. Jika May tidak ubah fikiran pada tarikh I Mei, aku akan makan 30 tin nanas yang tamat tarikh. Dengan itu, barulah cinta kami tamat tarikh.”
Begitu He Zhiwu bercerita tentang nanas, tarikh luput dan May.
Setelah May tidak menghubunginya pada 1 Mei, He Zhiwu makan 30 nanas dalam tin. Di malam hari jadinya, He Zhiwu pergi ke sebuah bar. Dia cuba melupakan May dan mahu jatuh cinta pada perempuan pertama yang masuk ke bar. Seorang perempuan berambut palsu blonde dan berkaca hitam menarik perhatiannya. He Zhiwu mendekati perempuan misteri itu dan bertanya, “Awak suka nanas, tak?”
He Zhiwu mengikut perempuan berambut palsu blonde pulang ke bilik hotel sekadar untuk berbual. Perempuan yang sedang menjalankan satu urusan dadah itu, keletihan dan tertidur. He Zhiwu menonton TV, makan dan gosok gigi. Sebelum pergi, He Zhiwu membersihkan kasut teman baharunya yang kotor. “Perempuan cantik kena pakai kasut yang bersih,” kata He Zhiwu. Esoknya, gadis berambut palsu blonde menembak tokan dadah yang datang mahu membunuhnya. Dia lalu menghilang.
Ditinggal kekasih
Polis 663 ditinggalkan kekasihnya, seorang pramugari. Seperti He Zhiwu, dia masih belum dapat melupakan kekasihnya. Masih menyimpan barang-barang kenangan mereka di rumah dan berharap satu hari nanti kekasihnya kembali.
Kunci rumah Polis 663 ditinggalkan kekasihnya pada Faye, gadis jovial yang suka mendengar lagu California Dreamin’. Faye berkerja di sebuah kedai kecil. Dia menyimpan hati pada Polis 663. Faye sering mencuri masuk ke rumah Polis 663. Dia mencuci, menyusun atur rumah Polis 663 dan menambah ikan emas dalam akuarium. Sehinggalah satu hari Polis 663 mengetahui orang yang menceroboh rumahnya selama ini adalah Faye. Faye menghilangkan diri. Beberapa lama kemudian, Faye pulang sebagai pramugari, berjumpa Polis 663 lalu pergi lagi.
Cinta pastilah ada banyak cerita bebal dan kelucuan-kelucuannya sendiri. Itu yang dilalui oleh He Zhiwu dan Polis 663 ketika melawan sunyi, kekosongan diri dan kenangan yang menyakiti.
Di akhir babak cerita He Zhiwu, dia menelefon kawan-kawan lama yang setengahnya sudah lupa siapa dia. He Zhiwu juga menelefon ke rumah May, sekadar mahu bertanya tentang May pada ibu bapa May. Oleh kerana hidup selalu berada di antara ada dan tiada, He Zhiwu hanya mahu membuktikan bahawa dirinya ada. Kesunyian telah membuatkan dia rasa seperti halimunan.
Chungking Express adalah cerita tentang orang-orang yang pernah datang dan pergi dalam hidup kita. Itu ingatan yang melekat dalam kenangan WKW ketika dia melihat kehidupan berjalan di luar bangunan Chungking. Dia melihat orang-orang datang dan pergi. Ada yang datang untuk waktu yang lama, ada yang sekadar menjenguk muka, ada yang hanya lalu-lalang, ada yang datang berulang-ulang, ada yang pulang dan tidak lagi pernah datang.
Sebagai orang yang terpaksa meninggalkan tanah kelahiran untuk mencari secercah masa depan, WKW selalu punya banyak cerita tentang kehilangan dan kesunyian. Chungking Express adalah refleksinya tentang Hong Kong, juga tentang keanehan dan kelucuan hidup yang berlangsung. Tanpa kelucuan, hidup adalah tragedi.