Oleh Mohamad Kholid Hamzah
Perahu jalur itu muat-muat untuk 3 orang. Boleh sahaja didayung di haluan atau dikayuh dengan tangan. Perahu itu sudah cukup tua, birai sudah serpah-serpih. Malah ada yang berlubang-lubang dimakan usia. Namun perahu tua itu cukup besar jasanya. Tidak pernah bocor. Beberapa bulan sekali dinaikkan ke ungus pantai. Dijemur terbalik pada terik matahari sehingga kering dan teritip yang berumah mati. Selepas itu ditunu’ api belarak kelapa kering. Bersih, tahan awet.
Pagi-pagi lagi Sisi sudah merungkai tali perahu jalur yang tertambat pada palauh. “Hendak ke mana?’ tanya Iyang yang sedang bersandar pada birai. Iyang sedang menyusukan adik. Kembang kemucup pipi tembam adik mengepam susu. Adik lelaki memang kuat menyusu. Emma’ sudah keluar ke selang luas – Laut Sulu sejak tengah malam tadi dengan bot pam. Tentu jauh Emma’ pergi menombak ikan. Tempuling yang hanya dua itu kesemuanya Emma’ bawa bersama. “Semporna!” Sisi menjawab sepatah. Entah Iyang dengar entah tidak. Semporna jauh, tentulah Iyang menyangka dia sekadar bermain di sekitar. Tanpa bot pam, mungkin esok baru sampai?
“Hendak yang mana?” Orangnya sudah berumur, mudah menyapa dan hanya mahu dipanggil oron Ah Teng. Dia tahu berbahasa Bajau Sama’, Bajau Palauh, Suluk dan Jawa. Malah sekitar Tawau dan Semporna, keempat-empat bahasa itu menjadi basahan seharian. Bercampur-aduk satu sama lain. Begitu juga indung dan nyanyian lagu-lagu lama. Serumpun. Seasin selang dan nyiur yang tumbuh di pulau dan pantainya.
Sisi hanya cerlang matanya. Kedua-duanya pun cantik.
“Kalau mahu beli lampu solar, kena pilih yang mana bateri tahan lama. Yang ini boleh 12 jam. Yang ini pula hanya 6 jam,” terang Ah Teng.
“Mana murah?” Tanya Sisi.
“Tentulah yang 6 jam,” Ah Teng tersenyum. Antara berkualiti dan tahan lama, tentu sekali akan tewas dengan kemampuan pelanggan. Di tempat ini selain usaha, wang segala-galanya. Mahal atau murah bukanlah dikawal semata-mata oleh peniaga. Itu hanya tuduhan tanpa mengambil kira Wilayah Timur Sabah ini sebuah wilayah yang sangat berbeza.
Zaman telah berubah, kata Emma’. Dahulu, ketika Emma’ kecil, api daripada kayu api dan pelepah kelapa menerangi malam. Tungku dapur dibiarkan berbara sepanjang malam. Perlukan cahaya, campakkan seikat belarak. Akan terang benderang. Selepas itu, api pelita. Jika kehabisan minyak tanah, boleh sahaja diganti dengan minyak makan. Sumbunya dilindungi kaca dan digantung pada dinding palauh. Mana yang punya kemampuan, gunakan lampu gaslin. Terang dan mampu menarik ikan ke palauh di tengah gelita malam. Minyak tanah menjadi sangat mahal dan sulit pula diperoleh. Lampu karbit pula menjadi pilihan. Minyak makan sering menjadi punca menerangi kegelapan malam. Sesekali lilin, yang dibeli di kedai. Lilin lebah, jangankan damar, sudah hampir tiada kini. Akhir-akhir ini, ramai yang menggunakan lampu daripada bateri kereta. Apabila sudah kurang tenaga, dibawa ke Semporna untuk dicas beberapa jam. Jika keluarga yang berada, akan membeli enjin janakuasa kecil menggunakan minyak petrol. Emma’ pernah berkira-kira mahu membeli tetapi membatalkannya. Dia tidak gemar dengan bunyi bising yang mengganggu tidur. Emma’ mahu kehidupan malam yang sunyi dan tenang.
Lampu solar itu berhasil dibawa pulang. Sisi cukup senang biarpun seharian berpanas oleng-oleng atas perahu jalur. Anak selang tidak pernah takut sendirian. Biar rapus perahu jalur itu dengan bubu berisi bahabak dan kaulang. Bubu ciptaannya daripada botol oren 1 liter tahu sahaja mengumpan diing walaupun yang lebih sanungan. Perahu jalur dibiarkan lantung di permukaan sementara Sisi remangi menarik bubu, Cina pekan Semporna mahu bahabak mahupun kaulang yang masih hidup. Segar dan mahal. Beberapa ekor kaulang sudah mencukupi. Seekor tayum dicapai di dasar selang. Dibelah dengan pisau dan dimakan mentah-mentah. Cukup memberi Sisi tenaga untuk berkayuh mencari mana-mana bot pam yang dikenali, menumpang mahu ke Semporna. Manusia di Laut Sulu hidup berkelompok. Namanya Bajau, Sama’ atau Palauh pasti akan bantu-membantu. Itulah sifatnya. Lautan yang luas sebenarnya mendekatkan jiwa insan.
Lampu solar itu akan dipasang pada palauh. Malam-malam akan menerangi seisi keluarga. Tidak perlu menghidu umbu api pelita. Sisi terus berkayuh. Peluh memercik ketika dia menghampiri palauh yang bersauh berhampiran rumah-rumah Bajau Laut berhampiran Pulau Bohey Dulang. Umbu tambun-tambun ke langit. Sisi lebih kuat berkayuh. Beberapa buah rumah kelihatan sudah terbakar. Ada yang sudah runtuh. “Iyang! Apa berlaku?” tanya Sisi sebaik sahaja menambat perahu jalur pada buritan palauh. Iyang yang sedang nguse’ periuk sekadar menggeleng. Sisi dapat melihat iyang mengesat tubir matanya.
“Palauh kiti tak dibakar, sebab kiti Bajau Palauh, Kata gai, Bajau Laut tidak berumah. Tidak boleh buat rumah di Taman-taman Sabah,” terang iyang sambil terus nguse’ periuk.
Sisi duduk, membiarkan kakinya dielus ombak laut. Senja merangkak malam dan api rumah-rumah dibakar berhampiran Pulau Bohey dulang masih menyala. Dia membiarkan sahaja lampu solar tergeledak di tepi palauh. Malam itu sudah cukup terang di matanya.
GLOSARI