SUBANG JAYA, 8 SEPT: Lebih 1,200 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mendaftar program saringan kesihatan percuma di Dewan MBSJ SS15, di sini sejak semalam.
Wakil rakyatnya berkata jumlah itu membabitkan pendaftaran 700 orang untuk semalam manakala setakat jam 11 pagi hari ini menerima 500 pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta di lokasi saringan.
Menurut Michelle Ng Mei Sze, bilangan peserta yang ramai itu membuktikan masyarakat di Subang Jaya peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
“Mengikut kuota awal Selangor Saring di sini hanya peruntuk 450 orang untuk setiap hari iaitu 900 bagi dua hari ini.
“Saringan kesihatan seperti payu dara, fisioterapi, mata, gigi dan buah pinggang jika dibuat di luar paling kurang kos RM3,000 yang menarik perhatian orang ramai untuk menyaring di sini. Program menunjukkan Kerajaan Negeri peka terhadap kesihatan rakyat,” katanya ketika ditemui dalam program itu hari ini.
Tambahnya, program saringan merupakan usaha Kerajaan Negeri mendidik rakyat untuk mencegah penyakit dari awal terutama kepada golongan kurang mampu.
“Di Subang Jaya, Selangor Saring telah dianjur dua kali, penggal lepas 800 terima manfaat. Kami buat hebahan program melalui grafik poster dan video.
“Kebanyakan peserta terdiri daripada mereka berpendapatan sederhana (M40), warga emas dan mereka yang tidak mempunyai kemudahan insurans kesihatan,” jelasnya.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.
Sebelum ini saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Paya Jaras, Dengkil, Sungai Tua, Batu Tiga dan Pandamaran.