Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED
SHAH ALAM, 4 OGOS: Perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan Pilihan Menteri Besar Selangor menentang Pilihan Menteri Besar Kedah menjadi bukti langkah politik matang meskipun masing-masing berlainan parti.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbezaan parti politik tidak menghalang Kerajaan Negeri beramah mesra dan menyantuni Kedah dalam lawatan rasmi ke Selangor.
“Kebetulan ada lawatan rasmi daripada Kedah kita adakan acara santai ini. Kalau semua formal tak menjadi. Lebih santai dan mesra. Kita anjurkan untuk penonton dan tetamu yang datang dari utara,” katanya.
Terdahulu, pertembungan julung kali itu menyaksikan pasukan Pilihan Menteri Besar Kedah menewaskan pasukan Pilihan Menteri Besar Selangor 8-5 pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FA, di sini.
Perlawanan turut diserikan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Pasukan pilihan Menteri Besar Selangor dibarisi pemain antaranya Amirudin sendiri; EXCO Sukan Najwan Halimi; pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim dan beberapa pemain lagenda negeri seperti Dato’ Zainal Abidin, Shahril Arsat dan Asmawi Bakri.
Manakala pemain pilihan Menteri Besar Kedah dibarisi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; EXCO Sukan Kedah Muhammad Radhi Mat Din dan beberapa bekas pemain negeri itu antaranya Mohd Nidzam Adzha Yusoff, Mohd Farouk Ismail dan Mohd Feriza Ismail.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata semua pihak memerlukan ruang dan tempoh bertenang bagi melaksanakan dasar dan polisi masing-masing selepas pilihan raya umum lalu.
“Bagi saya ini masa yang terbaik untuk kita review dan bertenang dan meneruskan. Ini adalah sebahagian daripada signal yang jelas supaya kita teruskan apa ada.
“Beza boleh tetapi pada masa sama kita masih lagi rakyat Malaysia dan kita ada tanggungjawab bersama,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memuji usaha Kerajaan Selangor dalam menyatukan semua pihak menerusi semangat sukan tanpa mengira latar belakang.
“Ini cara kita selepas 67 tahun menyambut kemerdekaan, sepatutnya kita saling bertukar-tukar pandangan untuk memajukan negara.
“Untuk hubungan negeri-negeri ini langkah yang baik saya harap di negeri lain pun boleh lawan bola secara santai. Saya jemput pasukan Selangor ke Kedah selepas ini,” katanya.