Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenaan menyertai 150 sukaralewan membersihkan Sungai Klang pada 14 September 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda sertai 150 sukarelawan bersihkan Sungai Klang, kutip 700kg sampah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor hari ini berkenan mencemar duli menyertai program Projek Pembersihan Sungai Klang anjuran Putra Business School (PBS) di Royal Selangor Yacht Club (RSYC), Klang.

Tengku Amir Shah diiringi EXCO Belia Najwan Halimi dan Presiden PBS Profesor Dr Azmawani Abd Rahman membantu 150 sukaralewan termasuk barisan pengurusan serta mahasiswa PBS membersihkan sungai berkenaan.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, sejumlah 700kg sampah dikutip sepanjang lebih tiga jam program yang menumpukan kerja pembersihan di tebing dan kawasan perairan.

“Baginda selaku Canselor PBS menyokong usaha pembersihan Sungai Klang dan berharap usaha itu mendorong kepada orang ramai untuk bersama-sama menjaga alam sekitar.

“Program ini merupakan permulaan kepada PBS untuk memberi kesedaran kepentingan penjagaan sungai dan penjagaan alam,” tulisnya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang diiringi EXCO Belia Najwan Halimi berkenaan bergambar bersama 150 sukaralewan program Projek Pembersihan Sungai Klang anjuran Putra Business School di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 14 September 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sementara itu, Najwan menerusi laman X berkata pihaknya sentiasa mendukung program menjaga alam sekitar dengan penglibatan masyarakat.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan inisiatif seumpama ini yang bukan sahaja dapat membantu memulihara kelestarian Sungai Klang tetapi turut menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat khususnya belia,” katanya.

Projek Pembersihan Sungai Klang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat PBS bersama RSYC, Raja Muda Selangor International Regatta, Putra Student Association dan Cuci Malaysia.


Pengarang :