Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Idaman di Cyberjaya, Sepang pada 28 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bina 1,360 unit Rumah Idaman di Sepang, jangka siap 2027

SEPANG, 28 SEPT: Selangor membangunkan dua lagi projek Rumah Idaman membabitkan 1,360 unit pangsapuri di sini, yang dijangka siap pada 2027.

Dato’ Menteri Besar berkata projek Rumah Saujana Idaman membabitkan 858 unit dan Rumah Putra Idaman (502) dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua petak parkir bermula dari RM250,000 seunit.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan projek bernilai RM125.5 juta itu dibangunkan Oriental Interest Berhad (OIB) dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pelancaran Rumah Idaman di Cyberjaya, Sepang pada 28 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Dua projek Rumah Idaman ini menyediakan rumah mampu milik di kawasan Sepang, Dengkil dan Putrajaya selain membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) miliki rumah pertama.

“Antara syarat utama pembelian adalah pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan projek di Galeri Jualan Myra Cove di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim memaklumkan melalui pembinaan dua projek ini, OIB menyerahkan 39 unit kontra kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemodalan Negeri Selangor Berhad, Raja Ahmad Shahir Iskandar Raja Salim berucap ketika Majlis Pelancaran Rumah Idaman di Cyberjaya, Sepang pada 28 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Ia akan diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melibatkan 26 unit Putra Idaman dan 13 unit Saujana Idaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sumber Manusia & Kemajuan OIB Akil Hassan Kalimullah memaklumkan reka bentuk projek dibangunkan mengikut gaya hidup moden dan menawarkan pilihan menarik buat mereka mencari persekitaran kediaman yang selamat.

Ketua Sumber Manusia dan Kemajuan Oriental Interest Berhad, Akil Hassan Kalimullah berucap ketika Majlis Pelancaran Rumah Idaman di Cyberjaya, Sepang pada 28 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Putra Idaman dan Saujana Idaman terletak dalam komuniti berpagar dan dikawal. Ia mudah diakses rangkaian lebuh raya seperti Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE),” jelasnya.

Sebelum ini, Amirudin berkata pentadbirannya berhasrat membina kira-kira 41,000 unit Rumah Idaman secara berperingkat sehingga 2028 untuk membantu rakyat memiliki kediaman mampu milik dan selesa.

 


Pengarang :