KUALA SELANGOR, 17 SEPT: Tiada aktiviti Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dilapor beroperasi di mana-mana premis hartanah milik Kerajaan Negeri, kata EXCO perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata semakan menerusi sistem Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) mendapati tiada pendaftaran pemilikan hartanah oleh pertubuhan terbabit.
“Dalam LPHS memang tidak ada nama pertubuhan GISBH atau agensi mereka, tapi kalau persendirian kita tidak pasti kerana ia di luar kawalan kita.
“Kalau ada aduan kita akan ambil tindakan kerana akta dalam kehidupan kediaman, kita tidak boleh sewa kepada pendatang asing, adakan aktiviti komersial, ganggu ketenteraman awam atau lakukan aktiviti yang langgar undang-undang,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan MPKS 2035 (Penggantian) di Dewan Eco Grandeur di sini, hari ini.
Borhan menambah, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya menerima laporan berhubung penempatan GISBH di premis hartanah milik LPHS.
Menurutnya, antara tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil termasuk sitaan dan pemotongan bekalan api dan air di premis terbabit.
“Setakat ini tiada laporan tapi kalau ada kita bersedia (ambil tindakan) dan akan bekerjasama untuk pastikan tiada masalah ini,” katanya.
Khamis lalu, Jais menerusi kenyataan memaklumkan sedang melaksanakan pemantauan berterusan berhubung aktiviti ahli GISBH yang dikaitkan dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
GISBH dipalit kontroversi selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 10 September lalu.
Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.