SHAH ALAM, 28 OKT: Pertandingan sukan ekstrem motosikal, Royale Rumble Hard Enduro 2024 berjaya menarik penyertaan 56 peserta termasuk dari Australia.
Berlangsung di Kem Ghafar Baba, Kemensah, Hulu Kelang semalam, pertandingan itu menguji kemahiran peserta mengendali motosikal ‘scrambler’ di laluan hutan berbukit, licin dan berlumpur sejauh 48 kilometer.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan, pertandingan julung kali itu bertujuan mempelbagai acara sukan selain mempromosi Kemensah sebagai salah satu lokasi eko-pelancongan di Ampang.
“Pertandingan anjuran MPAJ dengan kerjasama Kelab Motosikal Mutiara 7 itu turut mengasah kemahiran penunggang motosikal ‘scrambler’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MPAJ hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM6,000 ditawar kepada pemenang termasuk penerima saguhati.
“Acara itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda, Jabatan Perhutanan Negeri dan beberapa rakan strategik lain,” katanya.