Kehadiran ikan bandar raya yang disenarai antara lebih 20 spesies ikan asing mengancam sungai dan habitat air tempatan. Turut dikenali ikan pleco, hidupan air itu menghasilkan sehingga 3,000 telur dalam 48 jam, selain merosakkan tebing sungai dan tasik negara ini.
Pelbagai usaha digerakkan sejak kebelakangan ini di seluruh tanah air termasuk membentuk komuniti bagi memburu ikan bandar raya, sekali gus memulihara sungai dan persekitarannya serta ekosistem spesies tempatan.
Inisiatif lain termasuk kempen Kerajaan Negeri menyasarkan tangkapan 50,000 kilogram (kg) ikan bandar raya bermula 1 September di beberapa sungai negeri ini dengan insentif RM1 bagi setiap kg tangkapan.
Bekerjasama dengan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB), EXCO Pertanian Ir Izham Hashim memperuntuk RM50,000 sepanjang September untuk tujuan itu dan Sungai Langat antara lokasi tumpuan menangkap ikan asing berkenaan.
Sempena Hari Sungai Sedunia pada 26 September, lensa MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN, NUR ADIBAH AHMAD IZAM dan foto Facebook KPIB merakam aktiviti penangkapan ikan bandar raya di negeri ini. Keterangan oleh HAFIZAN TAIB.