SHAH ALAM, 18 OKT: Pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menarik perhatian apabila ucapannya diselang-seli dengan puisi, selain berbahasa Cina dan Tamil.
Selain memetik puisi Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pandangan budayawan Indonesia W S Rendra, beliau mengungkap kata-kata hikmah Confucius dalam karya The Analects dalam bahasa Cina.
Sewaktu membentangkan topik penyasaran subsidi yang tidak sewajarnya dinikmati oleh golongan maha kaya, beliau membaca ungkapan Confucius berbunyi: “Guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ”.
“Jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar.
“Kesilapan fatal inilah—menurut Confucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas ‘yī cuò zài cuò’ iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali!” katanya yang mengundang gelak ketawa anggota dewan dan tepukan meja.
Anwar sekali lagi menggamit perhatian anggota dewan apabila membaca ayat naskhah klasik Thirukural dalam bahasa Tamil sewaktu membentangkan topik berkaitan penjagaan kesihatan.
Beliau sebelum itu berhenti seketika menyelak dokumen mencari tulisan tersebut, yang dianggapnya sangat penting untuk dibaca. Oleh kerana tidak menemuinya, beliau meneruskan pembentangan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang berada di sebelahnya kemudian menyerahkan kertas mengandungi petikan dalam bahasa Tamil itu, sebelum diungkap Anwar.
Beliau yang mengungkapnya mengikut intonasi dan gaya percakapan masyarakat India, mengundang gelak ketawa dan tepukan meja gemuruh oleh ahli dewan. Anwar juga kelihatan ketawa kecil.
Ungkapan itu bermaksud: “… untuk membangun sebuah negara yang bukan sahaja komited mengangkat martabat kehidupan rakyat yang miskin dan daif, bahkan untuk membasmi wabak penyakit dan musuh yang membinasakan.”
Sebelum mengakhiri pembentangannya, beliau membaca bait-bait puisi bertajuk Kepada Cinta oleh penyair Indonesia Teguh Esha bagi menggambarkan keamanan dan kestabilan negara.
Bait puisi itu berbunyi seperti berikut:
Kepada Cinta aku bertanya: “Mengapa benci marak di sini?”
Kepada Doa aku bertanya: “Mengapa dusta laris di sini?”
Kepada Berita aku berkata: “Mengapa fakta dikhianati?”
“Kepada Sastra aku bercerita tentang kata-kata yang berubah arti..
Banyak orang bicara cinta sambil menyebar bara benci
Banyak nian para pendusta berlagak kawan sejati
Banyak orang menghafal doa tapi mereka tidak mengerti
Banyak orang berbuat dosa tapi berlagak suci..”
Kepada Cinta aku berkata: “Padamkan benci di banyak diri…”
Kepada Doa aku bisikkan: “Tetaplah murni jangan tercemari!”
Kepada Rindu aku kisahkan: “Doa dan cinta kekal abadi..”
Kepada Allah aku memohon: “Teguhkan aku di semua sepi..”