BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Awie dihalau gagal bayar sewa rumah RM150, merempat di kolong

Oleh Intan Syuhada Akhir

Tidak mampu membayar sewa rumah RM150 sebulan dan terpaksa merempat di kolong antara kegetiran yang dilalui Datuk Awie pada awal pembabitannya dalam industri seni.

Nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, penyanyi itu baru menamatkan pengajian tingkatan lima dan bekerja sebagai pembantu teknikal di Panggung Anniversary Taman Botani, Tasik Perdana pada 1985.

“Saya kerja sambilan setiap minggu pasang pembesar suara. Jika ada persembahan, saya ditugaskan membuat penalaan dram kumpulan popular seperti Search dan Lefthanded.

“Kalau tongkat (pemukul) dram mereka jatuh, sayalah yang berlari pergi ambil. Dapatlah masuk televisyen sekejap. Itupun bukan main gembira lagi.

“Zaman itu, saya cari peluang bernyanyi, dapatlah RM5 setiap kali buat persembahan. Ada suatu hari selepas balik, saya dihalau tuan rumah kerana gagal bayar sewa.

“Dengan baju persembahan masih di badan, saya pun merempatlah di kolong,” katanya ketika ditemui pada 1 Oktober.

Awie mengakui impiannya untuk bergelar penyanyi ditentang bapanya Allahyarham Othman Maarof yang menyimpan harapan supaya anaknya itu bergelar guru.

“Selain tinggal di kolong, saya hanya makan nasi dengan kuah sardin, tiada ikan dan sebarang lauk. Kalau difikirkan, saya boleh sahaja pulang ke rumah ibu bapa di Datuk Keramat.

“Namun ketika itu saya ego, mahu buktikan yang saya boleh hidup senang dengan menjadi penyanyi,” katanya yang turut terlakon sebagai watak utama dalam beberapa filem terkenal.

Ceruk felda

Pada masa itu, Awie bersama Syam selaku pemain gitar utama, Baharim (gitar), Zul (bass) dan Jojet (dram) menubuhkan kumpulan Wings. Mereka mencari mungkin tawaran membuat persembahan di bandar mahupun ceruk felda.

“Zaman dahulu tiada internet dan media sosial. Kita kena keluar dan kenalkan diri. Kenduri kahwin, fun fair di felda dan ladang kelapa sawit, semua kami pergi.

“Lucunya, arwah ayah ikut senyap-senyap dari belakang. Beliau beli tiket, tengok saya buat persembahan, mahu pastikan saya betul-betul bernyanyi, bukan menagih dadah,” katanya yang menganggap bapanya sebagai kekuatan diri.

Penyanyi yang popular dengan lagu Intanku Kesepian, Taman Rashidah Utama dan Sejati itu bercadang untuk menghasilkan filem dokumentari perjalanan kumpulan rock itu sempena genap 40 tahun Wings dalam industri seni pada tahun depan.

“Kami sasar untuk tayangkan filem sekitar Mac tahun depan. Kami mahu ketengahkan nilai sentimental sebagai pemuzik rock di Malaysia dan betapa susahnya untuk membina tapak.

“Memandangkan ia naskhah dokumentari, ada beberapa bahagian yang perlu dilakonkan semula terutama babak kami masih muda,” katanya.

Wings juga berhasrat untuk mengadakan konsert jelajah meliputi 49 penjara sekitar tanah air. Siri mesyuarat bersama Jabatan Penjara Malaysia telah diadakan. Mereka kini dalam proses mendapatkan tajaan.

“Kami anggap ini kesempatan untuk kami berikan sepatah dua (nasihat), agar mereka tahu bahawa mereka juga turut dicintai artis. Mungkin usaha ini memberi impak besar kepada mereka. Kita mahu mereka pulih dan menjadi orang baik di luar nanti,” katanya.

Wings mula popular melalui album Belenggu Irama pada 1987, diikuti Hukum Karma (1988), Teori Domino (1990), Jerangkung Dalam Almari (1991), Bazooka Panaka (1993), Orang Asing (1995), Biru Mata Hitamku (1996) dan beberapa lagi.

Kumpulan berkenaan yang berganti anggota termasuk penyanyi beberapa kali menguasai arena rock tanah air sekitar 1990-an dan dianggap setara dengan populariti Search.


Pengarang :